Siaran Langsung Istiadat Kemahkotaan DYMM Sultan Ibrahim Sultan Johor Pada 23 Mac 2015

Sabtu, 10 Januari 2015

Istiadat Kemahkotaan Sultan Johor 23 Mac 2015

DYMM Sultan Ibrahim Sultan Iskandar dan DYMM Raja Zarith Sofiah Sultan Idris

JOHOR BAHARU, 5 Jan (Bernama) -- Istiadat Kemahkotaan Sultan Ibrahim Sultan Iskandar sebagai Sultan Johor kelima dalam sejarah Johor Moden akan diadakan di Istana Besar Johor pada 23 Mac ini, kata Yang Dipertua Jumaah Majlis Diraja Johor Dato' Abdul Rahim Ramli.

Beliau berkata bersempena kemahkotaan itu, Sultan Ibrahim turut berkenan memberi gelaran baharu kepada isteri baginda Raja Zarith Sofiah Sultan Idris sebagai Permaisuri Johor, gelaran yang pertama kali digunakan di negeri ini.

Beliau berkata 23 Mac juga diumumkan sebagai cuti umum bagi negeri Johor tahun ini, untuk memberi peluang kepada rakyat agar sama-sama meraikan hari kemahkotaan tersebut.

"Bagi menyerikan istiadat kemahkotaan itu, sekurang-kurangnya sembilan istiadat yang berlainan tetapi berkaitan akan diadakan bermula 16 Mac ini dan sambutan dijangka berlangsung selama tiga bulan," katanya kepada pemberita di Pejabat Jumaah Majlis Diraja Johor, di sini, Isnin.

Turut hadir Setiausaha Jumaah Majlis Diraja Dato' Abdul Latiff Yusof.

Abdul Rahim berkata istiadat kemahkotaan itu amat istimewa memandangkan kali terakhir istiadat itu diadakan adalah pada 55 tahun yang lepas.


“Kemahkotaan ini diadakan bukan dengan kuasa dan kehendak undang-undang bahkan ia merupakan warisan tradisi Diraja Johor mengikut Fasal 4, bahagian kelima Lembaga Aturan bagi Perintah Majlis Raja, Majlis Istana dan Agama 1922 memperuntukan kemahkotaan boleh diadakan pada sebarang masa.
“Kemahkotaan ini bagi memperkasa dan memartabakan darjat, kehormatan dan kebesaran serta kedaulatan raja.


"Istiadat kemahkotaan tuanku adalah eksklusif tetapi mengandungi ciri-ciri yang pernah diperlakukan dalam istiadat sebelumnya bagi mengekalkan dan memperkayakan budaya istana," katanya.

Beliau berkata kali terakhir istiadat kemahkotaan diadakan ialah pada 10 Februari 1960 ketika Almarhum Sultan Ismail Sultan Ibrahim dimahkotakan.


Abdul Rahim berkata antara ciri keunikan yang bakal berlangsung ialah Sultan Johor dan isterinya akan memakai kain pelayang diraja yang direka khas oleh tukang jahit kain pelayang Ratu Elizabeth.

“Majlis istiadat pemahkotaan itu akan menjemput semua Raja dan Sultan negara ini termasuk Sultan Brunei dan pemimpin negara serta negeri.

“Baginda tuanku juga berkenan berangkat ke daerah-daerah pada tarikh yang ditetapkan untuk perayaan bersempena pemahkotaan itu yang dijangka berlangsung selama tiga bulan,” katanya.

Beliau turut memaklumkan, Sultan Johor berkenan dua lambang rasmi kemahkotaan boleh digunakan untuk bahan cenderahati.

“Rakyat dan orang ramai khasnya peniaga cenderamata digalak membuat dan menjual cenderahati dengan menggunakan lambang dan perkataan yang dipersetujukan dengan syarat mendapat kebenaran kerajaan terlebih dahulu.


Sempena istiadat itu, Abdul Rahim berkata setem pos yang direka khas untuk kemahkotaan dalam denominasi 60 sen, 80 sen dan RM1 serta sampul surat hari pertama kemahkotaan akan dicetak dan dijual oleh Pos Malaysia mulai 23 Mac.

Medallion emas bersempena kemahkotaan itu juga akan dijual oleh Bank Negara, katanya.

Lebih 30,000 rakyat dijangka menyaksikan istiadat kemahkotaan yang akan disiarkan secara langsung melalui stesen televisyen terpilih dan juga skrin besar di Dataran Bandaraya Johor Baharu, katanya.


Lambang kemahkotaan ini boleh mula digunapakai mulai 1 Januari dan maklumat terperinci mengenai istiadat ini boleh dilayari di laman web, kemahkotaan.johor.gov.my.

(sumber : Bernama & Sinar Harian)

ABDUL RAHIM RAMLI (kiri) dan Abdul Latiff Yusof menunjukkan lambang istiadat pemahkotaan dalam sidang akhbar di Johor Bahru, semalam. – Utusan/AMIN FARIJ HASAN