Siaran Langsung Istiadat Kemahkotaan DYMM Sultan Ibrahim Sultan Johor Pada 23 Mac 2015

Ahad, 15 Mac 2015

Polis Johor Siap Sedia Aspek Keselamatan, Lalu Lintas Istiadat Kemahkotaan

JOHOR BAHARU, 15 Mac (Bernama) -- Polis Kontinjen Johor sudah bersiap sedia dengan aspek keselamatan dan lalu lintas di bandar raya ini bagi memastikan Istiadat Kemahkotaan Sultan Johor Sultan Ibrahim Almarhum Sultan Iskandar, pada 23 Mac ini berjalan lancar.

Ketua Polis Johor Datuk Mohd Mokhtar Mohd Shariff berkata persiapan sudah dilakukan sewajarnya sejak dua tahun lepas menerusi jawatankuasa khas yang ditubuhkan bersempena istiadat berkenaan.

"Kami sudah merangka strategi bagi memastikan keselamatan dan lalu lintas berjalan lancar dalam beberapa mesyuarat jawatankuasa yang diadakan termasuk yang terakhir pada hari ini," katanya kepada pemberita pada taklimat Ops Kemahkotaan Johor, di Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Johor, di sini hari ini.

Mohd Mokhtar berkata pihaknya menugaskan anggota yang secukupnya untuk istiadat kemahkotaan itu termasuk mendapatkan bantuan keanggotaan daripada kontinjen negeri lain.

Beliau berkata sehubungan itu, pihaknya mengharapkan orang ramai memberi kerjasama dan mematuhi arahan lalu lintas sepanjang raptai istiadat yang akan bermula esok hingga 19 Mac dan pada hari istiadat, 23 Mac.

"Beberapa laluan di bandar raya ini akan ditutup mulai pukul 7 pagi hingga 12 tengah hari mulai esok hingga 19 Mac bagi melakukan raptai manakala pukul 6 pagi hingga 12 tengah hari, pada hari istiadat.

"Polis memerlukan toleransi orang ramai ketika raptai diadakan dan pada hari istiadat tersebut terutamanya ketika perarakan diraja dari Istana Besar ke Istana Bukit Serene, berlangsung," katanya.

Menurut Mohd Mokhtar orang ramai boleh menghubungi Pusat Kawalan IPK Johor di talian 07-2212999 bagi mendapatkan sebarang maklumat berkaitan.

-- BERNAMA, 15 Mac 2015