Siaran Langsung Istiadat Kemahkotaan DYMM Sultan Ibrahim Sultan Johor Pada 23 Mac 2015

Selasa, 14 April 2015

Jalan Maharani Di Muar Ditutup Selama 13 Hari Bagi Karnival HPPNK

MUAR, 9 April (Bernama) -- Jalan Maharani di bandar ini akan ditutup selama 13 hari bermula esok untuk Karnival Hari Penternak, Peladang dan Nelayan Kebangsaan (HPPNK) Peringkat Negeri sempena sambutan Kemahkotaan Sultan Johor Peringkat Daerah Muar.

Yang Dipertua Majlis Perbandaran Muar (MPM), Ramlee A Rahman berkata, pihaknya telah memaklumkan mengenai penutupan itu melalui notis, hebahan melalui laman sosial Facebook MPM dan surat pekeliling yang sudah diserahkan kepada peniaga di sepanjang jalan itu.

"MPM juga memasang papan tanda notis pemberitahuan di jalan-jalan utama di bandar ini sejak 10 hari lalu supaya orang ramai boleh membuat perancangan perjalanan mereka.

Anggota penguatkuasaan MPM dibantu polis dan pasukan Jabatan Sukarelawan Malaysia (Rela) akan mengawal aliran trafik," katanya dalam sidang media di sini hari ini.

Ramlee berkata sebanyak 100 buah gerai pelbagai jualan akan mengambil bahagian pada karnival itu nanti.

"Kenderaan peniaga bagaimanapun akan dibenarkan melalui jalan itu dengan menggunakan jalan pintas yang kita sediakan seperti Jalan Abdullah sebelum masuk ke Jalan Sisi, Jalan Sayang, Jalan Yahya, Jalan Sulaiman dan Jalan Haji Abu," katanya.

Beliau berkata pengguna yang datang ke pusat bandar dan mahu ke Ledang atau Pagoh diminta melalui jalan alternatif iaitu Jalan Abdullah, Jalan Arab dan Jalan Bakri sebelum menyeberangi Jambatan Sultan Ismail.

Katanya Jambatan Sultan Ismail pula akan ditutup sepenuhnya pada 18 April mulai pukul 3 petang sehingga 3 pagi dan penggguna boleh menggunakan jalan pintasan dan Jambatan Kedua Muar.

Katanya operasi Hentian Bas dan Teksi Maharani akan dipindahkan sementara ke Stadium Sultan Ibrahim manakala perkhidmatan teksi di tempat letak kereta di Dewan Jubli Intan.

Ramlee berharap orang ramai akan memberikan kerjasama sepanjang penutupan jalan berkenaan dan bersama-sama menjayakan karnival yang sambutan kemuncaknya pada 17 sehingga 19 April.

-- BERNAMA, 09 April 2015

Tiada ulasan:

Catat Ulasan