Siaran Langsung Istiadat Kemahkotaan DYMM Sultan Ibrahim Sultan Johor Pada 23 Mac 2015

Ahad, 5 April 2015

Sultan Johor, Permaisuri Berangkat Ke Jamuan Teh Bersama Rakyat Kluang

KLUANG, 4 April (Bernama) -- Sultan Johor Sultan Ibrahim Almarhum Sultan Iskandar hari ini berkenan berangkat menghadiri jamuan teh bersama rakyat di Laman Tasik, di sini.
Majlis bermula 3 petang itu diadakan bersempena Istiadat Kemahkotaan Sultan Johor, 23 Mac lepas.

Berangkat sama ke majlis itu Permaisuri Johor Raja Zarith Sofiah Almarhum Sultan Idris Shah, Tunku Mahkota Johor Tunku Ismail Sultan Ibrahim, Che' Puan Khaleeda Bustamam serta para anakanda lain.

Turut hadir Menteri Besar Johor Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin, barisan exco kerajaan negeri, Setiausaha Kerajaan Johor Datuk Ismail Karim dan Pegawai Daerah Kluang Mohamad Fuad Radzuan.

Kira-kira 10,000 rakyat pelbagai kaum yang hadir ke majlis itu turut mengambil peluang bersalaman dan beramah mesra dengan Sultan Johor.

Raja Zarith Sofiah pula berkenan menyampaikan 20 bungkusan dan wang tunai kepada golongan memerlukan termasuk pelatih Pusat Dalam Komuniti (PDK) Kluang.

Majlis kira-kira sejam dalam cuaca mendung itu diserikan pelbagai persembahan tarian kebudayaan kaum dan nyanyian termasuk penyanyi, Ameng Spring.

Orang ramai turut dihidangkan dengan pelbagai sajian tempatan seperti murtabak, kuih-muih, roti jala dan mee rebus.

-- BERNAMA, 4 April 2015