Siaran Langsung Istiadat Kemahkotaan DYMM Sultan Ibrahim Sultan Johor Pada 23 Mac 2015

Ahad, 19 April 2015

Sultan Johor, Permaisuri Berangkat Ke Jamuan Teh Bersama Rakyat Muar

MUAR, 18 April (Bernama) -- Sultan Johor Sultan Ibrahim Almarhum Sultan Iskandar hari ini berkenan berangkat menghadiri jamuan teh bersama rakyat di Dataran Tanjung Emas di sini.

Majlis yang bermula pada 3 petang itu diadakan bersempena Istiadat Kemahkotaan Sultan Johor pada 23 Mac lepas.

Berangkat sama, Permaisuri Johor Raja Zarith Sofiah Almarhum Sultan Idris Shah, anakanda baginda Tunku Tun Aminah; Tunku Temenggong Tunku Idris dan Tunku Putera Tunku Abu Bakar.

Turut hadir Menteri Besar Johor Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin, barisan Exco kerajaan negeri, Setiausaha Kerajaan Johor Datuk Ismail Karim, Presiden dan Ketua Eksekutif JCorp Datuk Kamaruzzaman Abu Kassim dan anggota Parlimen Muar Datuk Razali Ibrahim.

Kira-kira 10,000 rakyat pelbagai kaum hadir ke majlis berkenaan, turut mengambil peluang bersalaman dan beramah mesra dengan Sultan Johor.

Raja Zarith Sofiah pula berkenan menyampaikan sumbangan kepada lebih 150 penerima yang kurang berkemampuan.

Majlis itu juga turut diserikan dengan pelbagai persembahan tarian kebudayaan kaum dan nyanyian termasuk penyanyi Nash dan Caliph Buskers.

Orang ramai turut dihidangkan dengan pelbagai sajian tempatan seperti sate, martabak, kuih-muih, roti jala dan mi rebus.

Sebelum majlis itu, baginda berkenan merasmikan Karnival Johor Corporation (JCorp) yang diadakan sempena istiadat itu di dataran berkenaan.

Terdahulu pada sebelah pagi Baginda berkenan menyampaikan hadiah kepada pemenang Pertandingan Futsal Antara Pihak Berkuasa Tempatan Negeri Johor di Gelanggang Futsal Muar di sini yang dimenangi Majlis Bandaraya Johor Baharu.

Selepas penyampaian hadiah itu, baginda berkenan melawat Karnival 'Road To HPPNK 2015' di Persiaran Maharani di sini.

-- BERNAMA, 18 April 2015

Tiada ulasan:

Catat Ulasan