Siaran Langsung Istiadat Kemahkotaan DYMM Sultan Ibrahim Sultan Johor Pada 23 Mac 2015

Ahad, 5 April 2015

Sultan Johor, Permaisuri Johor Saksikan Pertunjukan Tatu Kemahkotaan

KLUANG, 4 April (Bernama) -- Sultan Johor Sultan Ibrahim Almarhum Sultan Iskandar dan Permaisuri Johor Raja Zarith Sofiah Almarhum Sultan Idris Shah berkenan berangkat menyaksikan pertunjukan Tatu Kemahkotaan di Stadium Kluang, malam ini.
Pertunjukan oleh 1,500 anggota Angkatan Tentera Malaysia (ATM) dan Polis Diraja Malaysia (PDRM) itu diadakan bersempena Kemahkotaan Sultan Johor pada 23 Mac lepas.

Turut hadir, Menteri Pertahanan Datuk Seri Hishammuddin Tun Hussein, Panglima Angkatan Tentera Jen Tan Sri Zulkifeli Mohd Zin dan Ketua Polis Negara Tan Sri Khalid Abu Bakar.

Setiausaha Kerajaan Johor Datuk Ismail Karim, barisan exco kerajaan negeri dan Pegawai Daerah Kluang Muhammad Fuad Radzuan, turut hadir.

Pertunjukan bermula 9 malam itu berkonsepkan gabungan persembahan pancaragam dan kepakaran ATM/PDRM.

Antara yang dipertonton kepada lebih 5,000 rakyat itu adalah persembahan 'drumline' oleh Pusat Latihan Muzik Tentera Darat (Puzida), kawad senyap oleh Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM) dan pancaragam gabungan ATM.

Turut dipertontonkan ialah persembahan kawad patung dan pancaragam PDRM, persembahan anjing pengesan (K9) PDRM dan anjing perang ATM, Wira Merah, kepakaran Grup Gerak Khas (GGK) serta gabungan aksi payung terjun dari Rejimen 21 (GGK) dan 69 Komando.

Persembahan berkenaan turut dimeriahkan dengan pertunjukan bunga api, selain acara kebudayaan oleh Yayasan Warisan Johor dan nyanyian beberapa artis tempatan termasuk Fazli Zainal, Ayai dan Ameng Spring.

-- BERNAMA, 04 April 2015

Sultan Johor, Permaisuri Berangkat Ke Jamuan Teh Bersama Rakyat Kluang

KLUANG, 4 April (Bernama) -- Sultan Johor Sultan Ibrahim Almarhum Sultan Iskandar hari ini berkenan berangkat menghadiri jamuan teh bersama rakyat di Laman Tasik, di sini.
Majlis bermula 3 petang itu diadakan bersempena Istiadat Kemahkotaan Sultan Johor, 23 Mac lepas.

Berangkat sama ke majlis itu Permaisuri Johor Raja Zarith Sofiah Almarhum Sultan Idris Shah, Tunku Mahkota Johor Tunku Ismail Sultan Ibrahim, Che' Puan Khaleeda Bustamam serta para anakanda lain.

Turut hadir Menteri Besar Johor Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin, barisan exco kerajaan negeri, Setiausaha Kerajaan Johor Datuk Ismail Karim dan Pegawai Daerah Kluang Mohamad Fuad Radzuan.

Kira-kira 10,000 rakyat pelbagai kaum yang hadir ke majlis itu turut mengambil peluang bersalaman dan beramah mesra dengan Sultan Johor.

Raja Zarith Sofiah pula berkenan menyampaikan 20 bungkusan dan wang tunai kepada golongan memerlukan termasuk pelatih Pusat Dalam Komuniti (PDK) Kluang.

Majlis kira-kira sejam dalam cuaca mendung itu diserikan pelbagai persembahan tarian kebudayaan kaum dan nyanyian termasuk penyanyi, Ameng Spring.

Orang ramai turut dihidangkan dengan pelbagai sajian tempatan seperti murtabak, kuih-muih, roti jala dan mee rebus.

-- BERNAMA, 4 April 2015