Siaran Langsung Istiadat Kemahkotaan DYMM Sultan Ibrahim Sultan Johor Pada 23 Mac 2015

Jumaat, 24 April 2015

Gambar-gambar Sekitar Istiadat Menurun Bendera Meletak Kerja

JOHOR BAHARU, 21 April -- Askar Timbalan Setia Negeri Johor menurunkan bendera sebelum diserahkan kepada Yang Dipertua Jumaah Majlis Diraja Johor Datuk Abdul Rahim Ramli pada Istiadat Menurun Bendera Meletak Kerja di Tugu Peringatan Istana Besar hari ini. Upacara ini menandakan berakhirnya perayaan Istiadat Kemahkotaan Sultan Johor Sultan Ibrahim Almarhum Sultan Iskandar, sejak bulan lepas.
--fotoBERNAMA(2015) HAKCIPTA TERPELIHARA

 JOHOR BAHARU, 21 April -- Yang Dipertua Jumaah Majlis Diraja Johor Datuk Abdul Rahim Ramli (berbaju ungu, belakang) menyaksikan Askar Timbalan Setia Negeri Johor menurunkan bendera sebelum diserahkan kepada beliau pada Istiadat Menurun Bendera Meletak Kerja di Tugu Peringatan Istana Besar hari ini. Upacara ini menandakan berakhirnya perayaan Istiadat Kemahkotaan Sultan Johor Sultan Ibrahim Almarhum Sultan Iskandar, sejak bulan lepas.
--fotoBERNAMA(2015) HAKCIPTA TERPELIHARA

 JOHOR BAHARU, 21 April -- Yang Dipertua Jumaah Majlis Diraja Johor Datuk Abdul Rahim Ramli (dua kiri depan) menyaksikan Askar Timbalan Setia Negeri Johor menurunkan bendera sebelum diserahkan kepada beliau pada Istiadat Menurun Bendera Meletak Kerja di Tugu Peringatan Istana Besar hari ini. Upacara ini menandakan berakhirnya perayaan Istiadat Kemahkotaan Sultan Johor Sultan Ibrahim Almarhum Sultan Iskandar, sejak bulan lepas.
--fotoBERNAMA(2015) HAKCIPTA TERPELIHARA

JOHOR BAHARU, 21 April -- Askar Timbalan Setia Negeri Johor menyerahkan bendera yang telah diturunkan kepada Yang Dipertua Jumaah Majlis Diraja Johor Datuk Abdul Rahim Ramli pada Istiadat Menurun Bendera Meletak Kerja di Tugu Peringatan Istana Besar hari ini. Upacara ini menandakan berakhirnya perayaan Istiadat Kemahkotaan Sultan Johor Sultan Ibrahim Almarhum Sultan Iskandar, sejak bulan lepas.
--fotoBERNAMA(2015) HAKCIPTA TERPELIHARA

Perayaan Kemahkotaan Sultan Johor Berakhir Dengan Istiadat Menurun Bendera Letak Kerja

JOHOR BAHARU, 21 April (Bernama) -- Istiadat Menurun Bendera Meletak Kerja dilakukan hari ini sebagai simbolik berakhirnya perayaan Istiadat Kemahkotaan Sultan Johor Sultan Ibrahim Almarhum Sultan Iskandar, sejak bulan lepas.

Istiadat disempurnakan di Tugu Peringatan Istana Besar, di sini, mulai 9 pagi dengan disaksikan Yang Dipertua Jumaah Majlis Diraja Johor Datuk Abdul Rahim Ramli.

Upacara istiadat dimulakan dengan doa oleh Mufti Johor Datuk Mohd Tahrir Shamsudin sejurus Datuk Penghulu Istiadat Datuk Abdul Latiff Yusoff menyeru memulakan majlis.

Penurunan bendera dilakukan dengan diiringi lagu turun bendera oleh Askar Timbalan Setia Negeri Johor dan bendera kemudian diserahkan kepada Abdul Rahim.

Turut hadir menyaksikan istiadat itu, Pengerusi Majlis Agama Islam Negeri Johor Datuk Noh Gadut, exco kerajaan negeri dan ketua jabatan kerajaan.

Bendera berkenaan dinaikkan sejak 16 Mac lepas menerusi Istiadat Meletak Kerja sebagai simbolik bermulanya Istiadat Kemahkotaan Sultan Ibrahim.

Istiadat Kemahkotaan Sultan Ibrahim sebagai Sultan Johor kelima dalam sejarah Johor moden diadakan pada 23 Mac lepas, di Istana Besar, di sini.

-- BERNAMA, 21 April 2015

Ahad, 19 April 2015

Sultan Johor, Permaisuri Berangkat Ke Jamuan Teh Bersama Rakyat Muar

MUAR, 18 April (Bernama) -- Sultan Johor Sultan Ibrahim Almarhum Sultan Iskandar hari ini berkenan berangkat menghadiri jamuan teh bersama rakyat di Dataran Tanjung Emas di sini.

Majlis yang bermula pada 3 petang itu diadakan bersempena Istiadat Kemahkotaan Sultan Johor pada 23 Mac lepas.

Berangkat sama, Permaisuri Johor Raja Zarith Sofiah Almarhum Sultan Idris Shah, anakanda baginda Tunku Tun Aminah; Tunku Temenggong Tunku Idris dan Tunku Putera Tunku Abu Bakar.

Turut hadir Menteri Besar Johor Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin, barisan Exco kerajaan negeri, Setiausaha Kerajaan Johor Datuk Ismail Karim, Presiden dan Ketua Eksekutif JCorp Datuk Kamaruzzaman Abu Kassim dan anggota Parlimen Muar Datuk Razali Ibrahim.

Kira-kira 10,000 rakyat pelbagai kaum hadir ke majlis berkenaan, turut mengambil peluang bersalaman dan beramah mesra dengan Sultan Johor.

Raja Zarith Sofiah pula berkenan menyampaikan sumbangan kepada lebih 150 penerima yang kurang berkemampuan.

Majlis itu juga turut diserikan dengan pelbagai persembahan tarian kebudayaan kaum dan nyanyian termasuk penyanyi Nash dan Caliph Buskers.

Orang ramai turut dihidangkan dengan pelbagai sajian tempatan seperti sate, martabak, kuih-muih, roti jala dan mi rebus.

Sebelum majlis itu, baginda berkenan merasmikan Karnival Johor Corporation (JCorp) yang diadakan sempena istiadat itu di dataran berkenaan.

Terdahulu pada sebelah pagi Baginda berkenan menyampaikan hadiah kepada pemenang Pertandingan Futsal Antara Pihak Berkuasa Tempatan Negeri Johor di Gelanggang Futsal Muar di sini yang dimenangi Majlis Bandaraya Johor Baharu.

Selepas penyampaian hadiah itu, baginda berkenan melawat Karnival 'Road To HPPNK 2015' di Persiaran Maharani di sini.

-- BERNAMA, 18 April 2015

Selasa, 14 April 2015

Jalan Maharani Di Muar Ditutup Selama 13 Hari Bagi Karnival HPPNK

MUAR, 9 April (Bernama) -- Jalan Maharani di bandar ini akan ditutup selama 13 hari bermula esok untuk Karnival Hari Penternak, Peladang dan Nelayan Kebangsaan (HPPNK) Peringkat Negeri sempena sambutan Kemahkotaan Sultan Johor Peringkat Daerah Muar.

Yang Dipertua Majlis Perbandaran Muar (MPM), Ramlee A Rahman berkata, pihaknya telah memaklumkan mengenai penutupan itu melalui notis, hebahan melalui laman sosial Facebook MPM dan surat pekeliling yang sudah diserahkan kepada peniaga di sepanjang jalan itu.

"MPM juga memasang papan tanda notis pemberitahuan di jalan-jalan utama di bandar ini sejak 10 hari lalu supaya orang ramai boleh membuat perancangan perjalanan mereka.

Anggota penguatkuasaan MPM dibantu polis dan pasukan Jabatan Sukarelawan Malaysia (Rela) akan mengawal aliran trafik," katanya dalam sidang media di sini hari ini.

Ramlee berkata sebanyak 100 buah gerai pelbagai jualan akan mengambil bahagian pada karnival itu nanti.

"Kenderaan peniaga bagaimanapun akan dibenarkan melalui jalan itu dengan menggunakan jalan pintas yang kita sediakan seperti Jalan Abdullah sebelum masuk ke Jalan Sisi, Jalan Sayang, Jalan Yahya, Jalan Sulaiman dan Jalan Haji Abu," katanya.

Beliau berkata pengguna yang datang ke pusat bandar dan mahu ke Ledang atau Pagoh diminta melalui jalan alternatif iaitu Jalan Abdullah, Jalan Arab dan Jalan Bakri sebelum menyeberangi Jambatan Sultan Ismail.

Katanya Jambatan Sultan Ismail pula akan ditutup sepenuhnya pada 18 April mulai pukul 3 petang sehingga 3 pagi dan penggguna boleh menggunakan jalan pintasan dan Jambatan Kedua Muar.

Katanya operasi Hentian Bas dan Teksi Maharani akan dipindahkan sementara ke Stadium Sultan Ibrahim manakala perkhidmatan teksi di tempat letak kereta di Dewan Jubli Intan.

Ramlee berharap orang ramai akan memberikan kerjasama sepanjang penutupan jalan berkenaan dan bersama-sama menjayakan karnival yang sambutan kemuncaknya pada 17 sehingga 19 April.

-- BERNAMA, 09 April 2015

Ahad, 5 April 2015

Sultan Johor, Permaisuri Johor Saksikan Pertunjukan Tatu Kemahkotaan

KLUANG, 4 April (Bernama) -- Sultan Johor Sultan Ibrahim Almarhum Sultan Iskandar dan Permaisuri Johor Raja Zarith Sofiah Almarhum Sultan Idris Shah berkenan berangkat menyaksikan pertunjukan Tatu Kemahkotaan di Stadium Kluang, malam ini.
Pertunjukan oleh 1,500 anggota Angkatan Tentera Malaysia (ATM) dan Polis Diraja Malaysia (PDRM) itu diadakan bersempena Kemahkotaan Sultan Johor pada 23 Mac lepas.

Turut hadir, Menteri Pertahanan Datuk Seri Hishammuddin Tun Hussein, Panglima Angkatan Tentera Jen Tan Sri Zulkifeli Mohd Zin dan Ketua Polis Negara Tan Sri Khalid Abu Bakar.

Setiausaha Kerajaan Johor Datuk Ismail Karim, barisan exco kerajaan negeri dan Pegawai Daerah Kluang Muhammad Fuad Radzuan, turut hadir.

Pertunjukan bermula 9 malam itu berkonsepkan gabungan persembahan pancaragam dan kepakaran ATM/PDRM.

Antara yang dipertonton kepada lebih 5,000 rakyat itu adalah persembahan 'drumline' oleh Pusat Latihan Muzik Tentera Darat (Puzida), kawad senyap oleh Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM) dan pancaragam gabungan ATM.

Turut dipertontonkan ialah persembahan kawad patung dan pancaragam PDRM, persembahan anjing pengesan (K9) PDRM dan anjing perang ATM, Wira Merah, kepakaran Grup Gerak Khas (GGK) serta gabungan aksi payung terjun dari Rejimen 21 (GGK) dan 69 Komando.

Persembahan berkenaan turut dimeriahkan dengan pertunjukan bunga api, selain acara kebudayaan oleh Yayasan Warisan Johor dan nyanyian beberapa artis tempatan termasuk Fazli Zainal, Ayai dan Ameng Spring.

-- BERNAMA, 04 April 2015

Sultan Johor, Permaisuri Berangkat Ke Jamuan Teh Bersama Rakyat Kluang

KLUANG, 4 April (Bernama) -- Sultan Johor Sultan Ibrahim Almarhum Sultan Iskandar hari ini berkenan berangkat menghadiri jamuan teh bersama rakyat di Laman Tasik, di sini.
Majlis bermula 3 petang itu diadakan bersempena Istiadat Kemahkotaan Sultan Johor, 23 Mac lepas.

Berangkat sama ke majlis itu Permaisuri Johor Raja Zarith Sofiah Almarhum Sultan Idris Shah, Tunku Mahkota Johor Tunku Ismail Sultan Ibrahim, Che' Puan Khaleeda Bustamam serta para anakanda lain.

Turut hadir Menteri Besar Johor Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin, barisan exco kerajaan negeri, Setiausaha Kerajaan Johor Datuk Ismail Karim dan Pegawai Daerah Kluang Mohamad Fuad Radzuan.

Kira-kira 10,000 rakyat pelbagai kaum yang hadir ke majlis itu turut mengambil peluang bersalaman dan beramah mesra dengan Sultan Johor.

Raja Zarith Sofiah pula berkenan menyampaikan 20 bungkusan dan wang tunai kepada golongan memerlukan termasuk pelatih Pusat Dalam Komuniti (PDK) Kluang.

Majlis kira-kira sejam dalam cuaca mendung itu diserikan pelbagai persembahan tarian kebudayaan kaum dan nyanyian termasuk penyanyi, Ameng Spring.

Orang ramai turut dihidangkan dengan pelbagai sajian tempatan seperti murtabak, kuih-muih, roti jala dan mee rebus.

-- BERNAMA, 4 April 2015

Rabu, 1 April 2015

Siaran 4 jam catat tontonan tertinggi

Oleh NORSHIKIN MOHD SALLEH

JOHOR BAHRU – Istiadat Kemahkotaan Sultan Johor, Sultan Ibrahim Sultan Iskandar, Isnin lalu bukan sahaja ditonton rakyat di negara ini, malah di seluruh dunia.

Istiadat gilang gemilang tersebut disiarkan secara langsung menerusi stesen televisyen tempatan dan juga boleh ditonton secara online streaming menerusi web http://kemahkotaan.johor.gov.my.

Pengerusi Jawatankuasa Publisiti Istiadat Kemahkotaan Md Jais Sarday berkata, siaran selama empat jam itu mendapat tontonan pelayar tertinggi.

“Istiadat baru-baru ini kita nilai hampir sempurna dan menjadi contoh bagi negeri lain, malah siaran langsung di online streaming juga merekodkan tontonan tertinggi, orang memang hendak tengok dari luar negara.

“Dalam tempoh empat jam iaitu dari jam 10 hingga 2 petang, siaran itu mendapat tontonan 5,030 pelayar sekali gus yang tertinggi berbanding laman lain pada waktu itu,” katanya di perasmian Pameran Mahkota Jauhar Junjungan Negeri, di Persada Johor.

Pameran tersebut dirasmikan Sultan Johor, Sultan Ibrahim Sultan Iskandar yang diiringi Permaisuri Johor, Raja Zarith Sofiah Sultan Idris Shah dan anakanda baginda.

Jais yang berpuas hati dengan kelancaran istiadat tersebut akan berangkat ke daerah bagi sambutan.

“Alhamdulillah setakat ini semua berjalan lancar, malah saya sendiri mendapat respons baik rakyat dan mereka dapat mengetahui lebih jelas bahawa sultan tidak seperti digambarkan sesetengah pihak.

“Baginda tuanku seorang yang bijaksana, mesra rakyat, menerusi istiadat ini rakyat dapat mengenali sultan mereka,” katanya.

Katanya, laman web yang diwujudkan sempena Istiadat Kemahkotaan Sultan Johor Kelima  itu akan dikekalkan dan ditambah pengisian lanjut.

 

Keberangkatan tiba Sultan Johor, Sultan Ibrahim Sultan Iskandar ke Pameran Mahkota Jauhar Junjungan Negeri disambut mesra.
 

Kenali Keunikan Kesultanan Johor Menerusi Pameran

Oleh Lucia Terey Anak John

JOHOR BAHARU (Bernama) -- Istiadat Kemahkotaan Sultan Johor kelima, Sultan Ibrahim Almarhum Sultan Iskandar yang berlangsung 23 Mac, bukan sahaja memberi peluang kepada orang ramai mempelajari istiadat diraja itu, malah membuka mata tentang keunikan sejarah dan khazanah yang dimiliki negeri ini.

Manakan tidak, kali terakhir ia diadakan ialah pada 10 Feb 1960, iaitu 55 tahun lepas. Justeru itu, ia diibaratkan sebagai platform kepada rakyat untuk bersatu dan berkumpul bagi meraikan upacara itu dengan penuh gilang gemilang.

Satu daripada suasana yang mungkin dapat menterjemahkan sifat gilang gemilang itu ialah ketika ribuan pengunjung, tidak kira dari dalam atau luar negara sanggup berbaris dan menunggu di tepi jalan semata-mata untuk melihat Tuanku tiba di Istana Besar pada hari berkenaan.

Perkara itu sudah cukup membuktikan bahawa rakyat juga tidak mahu terlepas menjadi sebahagian daripada peristiwa bersejarah itu.

Sehubungan itu, sebagai meneruskan lagi niat untuk rakyat mengetahui tentang kemahkotaan itu, Arkib Negara Malaysia Cawangan Johor telah mengaturkan satu pameran mengenai kemahkotaan itu mulai 28 Mac hingga 25 April di Pusat Konvensyen Antarabangsa Persada Johor (Persada Johor).

MAHKOTA JAUHAR, JUNJUNGAN NEGERI

Pameran yang bertemakan 'Mahkota Jauhar, Junjungan Negeri' itu bermatlamat untuk mengajak masyarakat menghargai dan menyelami sebaiknya istiadat kemahkotaan di Johor.

Pengarah Arkib Negara Malaysia negeri, Gowri P.S Thangaya ketika ditemui di pejabatnya, baru-baru ini berkata ramai yang tidak tahu bahawa kemahkotaan Sultan ini dibawa oleh Sultan Johor pertama dahulu iaitu Sultan Abu Bakar Sultan Ibrahim.

"Atas sebab itu, kita mengadakan pameran ini dalam skala besar supaya dapat memberi pemahaman lebih lanjut terutama kepada pelajar, mahasiswa dan golongan pengkaji sejarah," kata beliau.

Sebanyak enam segmen bakal dipersembahkan pada pameran itu termasuk susur galur keempat-empat Sultan Johor era-moden, usaha-usaha yang dilakukan Sultan Ibrahim I (anak Sultan Abu Bakar) ke arah memangkinkan pembangunan Johor serta kisah Sultan Ibrahim Almarhum Sultan Iskandar (Sultan sekarang) sebagai seorang pemimpin yang berjiwa rakyat.
 

JOHOR BAHARU, 31 Mac -- Pengarah Arkib Negara Malaysia negeri Gowri P.S Thangaya menunjukkan susur galur keempat-empat Sultan Johor era-moden yang akan dipamerkan pada pameran sempena Kemahkotaan Sultan Johor ketika ditemui Bernama di pejabatnya baru-baru ini.
Pameran berlangsung mulai 28 Mac hingga 25 April di Pusat Konvensyen Antarabangsa Persada Johor (Persada Johor).

--fotoBERNAMA(2015) HAKCIPTA TERPELIHARA

KENALI SUSUR GALUR SULTAN JOHOR

Dengan memahami susur galur keempat-empat Sultan ini, Gowri berkata rakyat akan lebih memahami siapa pewaris terdekat mereka dan bagaimana corak pentadbiran yang diamalkan oleh sultan terdahulu telah membawa pengaruh besar Kesultanan Johor ke negeri-negeri Melayu lain.

"Selain itu, ia menyentuh hubungan baik kerajaan British dengan kerajaan negeri melalui perjanjian-perjanjian yang dilakukan oleh Sultan Ibrahim I sehinggalah Johor muncul sebagai negeri Melayu yang termaju pada zaman itu," kata Gowri lagi.

Pada segmen lain pula, akan diketengahkan pula Sultan Ibrahim (sekarang) sebagai seorang pemimpin yang suka meluangkan masa bersama rakyat dan Permaisuri Johor Raja Zarith Sofiah Almarhum Sultan Idris yang mempunyai bakat melukis tersendiri.

Atas dasar ingin mewujudkan perasaan sayang rakyat kepada baginda berdua, koleksi gambar Sultan Ibrahim sewaktu mengadakan program dengan rakyat di setiap daerah dan koleksi lukisan yang pernah dihasilkan Raja Zarith Sofiah sendiri akan turut dipamerkan.

Satu kelainan pada pameran ini, adalah sesi pameran darjah-darjah kebesaran negeri dan peralatan seperti tombak, pedang, cokmar dan mahkota buat tontonan umum pada pameran itu.

 
JOHOR BAHARU, 31 Mac -- Alat Istiadat kebesaran Negeri Johor yang dikenali sebagai 'Keris' akan dibuat dalam bentuk replika sebenar untuk dipamerkan pada Pameran Sempena Kemahkotaan Sultan Johor bertempat di Pusat Konvesyen Antarabangsa Persada Johor ketika ditemui Bernama di Arkib Negeri Johor di Wisma Persekutuan, Jalan Ayer Molek baru-baru ini.
--fotoBERNAMA(2015) HAKCIPTA TERPELIHARA

JOHOR BAHARU, 31 Mac -- Alat Istiadat kebesaran Negeri Johor yang dikenali 'Cogan Alam' akan dibuat dalam bentuk replika sebenar untuk dipamerkan pada Pameran Sempena Kemahkotaan Sultan Johor bertempat di Pusat Konvesyen Antarabangsa Persada Johor ketika ditemui Bernama di Arkib Negeri Johor di Wisma Persekutuan, Jalan Ayer Molek baru-baru ini.
--fotoBERNAMA(2015) HAKCIPTA TERPELIHARA

JOHOR BAHARU, 31 Mac -- Alat Istiadat kebesaran Negeri Johor yang dikenali sebagai 'Cokmar' akan dibuat dalam bentuk replika sebenar untuk dipamerkan pada pameran sempena Kemahkotaan Sultan Johor bertempat di Pusat Konvesyen Antarabangsa Persada Johor (Persada Johor) ketika ditemui Bernama di Arkib Negeri Johor di Wisma Persekutuan, Jalan Ayer Molek baru-baru ini.--fotoBERNAMA(2015) HAKCIPTA TERPELIHARA

GUNA TEKNOLOGI BARU UNTUK MAKLUMAT BAHAN PAMERAN
Atas faktor keselamatan, bagaimanapun replika peralatan ini akan dipamerkan mengikut saiz dan bentuk yang sama akan digunakan bagi tontonan umum, kata Gowri.

Bagi memastikan penyaluran ilmu yang berterusan, arkib bakal mengguna kod bar di setiap bahan pameran agar mudah bagi pengunjung mengetahui lebih lanjut mengenai bahan pameran melalui telefon mudah alih mereka.

"Apa yang mereka perlu lakukan ialah hanya mengimbas kod bar berkenaan untuk membolehkan maklumat disimpan dalam telefon bimbit.

"Selepas itu, mereka boleh membacanya di mana-mana sahaja, tidak seperti apabila kita berkunjung ke tapak pameran," katanya yang optimis inisitiaf itu dapat memberi input terbaik khususnya golongan muda.

Sultan Johor, Permaisuri Berangkat Ke Majlis Jamuan Negeri

JOHOR BAHARU, 31 Mac (Bernama) -- Sultan Johor Sultan Ibrahim Almarhum Sultan Iskandar berkenan berangkat menghadiri majlis jamuan negeri bersempena Kemahkotaan Sultan Johor, di sini Selasa malam.

Majlis bermula 8.30 malam di Pusat Konvensyen Antarabangsa Persada Johor itu dihadiri kira-kira 1,200 tetamu.

Berangkat sama ke majlis berkenaan, Permaisuri Johor Raja Zarith Sofiah Almarhum Sultan Idris Shah, bonda Sultan Ibrahim Enche' Besar Hajah Khalsom Abdullah, para anakanda dan kerabat diraja lain.

Turut hadir, Menteri Besar Johor Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin dan isteri Datin Seri Rosni Omar, barisan exco kerajaan Johor dan ketua-ketua jabatan.

Majlis berkenaan diserikan dengan persembahan nyanyian oleh beberapa artis termasuk Datuk Siti Nurhaliza, Haziq AF serta artis kebudayaan Yayasan Warisan Johor.

Sementara itu, Mohamed Khaled ketika berucap pada majlis itu, berkata kerajaan negeri beriltizam memastikan Johor membangun menjadi negeri terbaik sekali gus penjana ekonomi utama negara ini.

Beliau berkata sehubungan itu, jentera pentadbiran negeri akan terus berusaha menyusun strategi bagi memastikan hasrat berkenaan tercapai.

"Usaha ke arah itu sudah pun dimulakan seawal pembentangan Bajet Johor 2015 tahun lalu. Intipatinya mudah, setiap masyarakat juga punyai tanggungjawab yang perlu digalas di negeri ini," katanya.

 
JOHOR BAHARU, 31 Mac -- Sultan Johor Sultan Ibrahim Sultan Iskandar dan Permaisuri Johor Raja Zarith Sofiah Sultan Idris Shah berkenan berangkat pada Majlis Jamuan negeri sempena Kemahkotaan Sultan Johor Sultan Ibrahim di Pusat Konvensyen Antarabangsa Persada Johor malam ini.
Turut berangkat bonda Sultan Ibrahim Enche Besar Hajah Khalsom Abdullah (belakang).
Turut kelihatan Menteri Besar Johor Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin.
--fotoBERNAMA (2015) HAKCIPTA TERPELIHARA


JOHOR BAHARU, 31 Mac -- Sultan Johor Sultan Ibrahim Sultan Iskandar dan Permaisuri Johor Raja Zarith Sofiah Sultan Idris Shah berkenan berangkat pada Majlis Jamuan negeri sempena Kemahkotaan Sultan Johor Sultan Ibrahim di Pusat Konvensyen Antarabangsa Persada Johor malam ini.
Turut kelihatan Menteri Besar Johor Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin dan bonda Sultan Ibrahim Enche Besar Hajah Khalsom Abdullah (dua, kanan).
--fotoBERNAMA (2015) HAKCIPTA TERPELIHARA