Siaran Langsung Istiadat Kemahkotaan DYMM Sultan Ibrahim Sultan Johor Pada 23 Mac 2015

Khamis, 5 Mac 2015

14 Jamadil Awal 1313 Hijrah - Hari Kemahkotaan DYMM Sultan Ibrahim & Tunku Ampuan Maimunah

Pada hari Sabtu, 14 Jamadil Awal 1313 Hijrah bersamaan 2 November 1895, kira-kira 120 tahun yang lalu, Istiadat Kemahkotaan  Ke bawah Duli Yang Maha Mulia Sultan Ibrahim dan Tunku Ampuan Maimunah telah diadakan di Istana Besar, Johor Bahru.

Istiadat tersebut diadakan selepas kira-kira 10 Jumaat selepas dimasyhurkan sebagai Sultan Johor pada 7 September 1895 atau kira-kira 6 bulan selepas kemangkatan Almarhum ayahanda baginda, Sultan Abu Bakar.

Istiadat Bersiram Tabal

Istiadat tersebut bermula dengan Istiadat Bersiram Tabal yang diadakan diatas sebuah Panca Persada yang dibina di kawasan lapang di antara bangunan Dewan dengan Istana Besar yang dikenali sebagai Bukit Bintang.

Bermula pada jam 3.30 petang, penjawat-penjawat perempuan memakai kain dedukung dan kain tetampan kuning duduk di sebelah tingkat sekeliling Panca Persada. Pada setiap penjuru Panca persada dikawal oleh hulubalang lelaki lengkap dengan tombak manakala kawasan sekeliling dikawal oleh askar dan polis.

Sultan Ibrahim dan Tunku Ampuan Maimunah berangkat turun dari Istana Besar dengan diringi pengiring perempuan dari kerabat. Kemudian Baginda berdua berangkat dengan kereta kuda yang ditarik dua ekor kuda sebandung.

Sebaik sahaja tiba, maka berbunyilah nobat dan bedil selamat 21 das ditembak dari Bukit Kubu (Bukit Timbalan) dan baginda berdua bersemayam di atas peterana yang disediakan.

Istiadat dimulakan dengan menepung tawar. Setelah selesai, maka nobat dibunyikan beserta lagu persiraman. Pada masa yang sama, air pancuran dari mulut naga dan lain-lain saluran dari penjuru persada memancut keluar.

Setelah selesai Istiadat Bersiram Tabal, baginda berdua turun dari Panca Persada dan berangkat naik ke Istana Besar dan tembakan meriam 21 das menandakan Istiadat Bersiram Tabal tamat.

Istiadat Kemahkotaan

Istiadat Kemahkotaan dimulakan kira-kira jam 4.30 petang dengan kehadiran kerabat, pegawai kerajaan, Gabenor, wakil Kerajaan Eropah dan dif jemputan khas di Bilik Singgahsana.

Kemudian pasukan Penjawat istana membawa masuk peralatan istiadat. Apabila sampai masa yang ditentukan, maka berserulah Bentara Kanan iaitu keberangkatan masuk Baginda berdua ke Istiadat Kemahkotaan. Lagu Bangsa Johor dimainkan sebelum baginda berdua bersemayam di atas takhta kerajaan.

Sultan Ibrahim memakai uniform hitam bertekat benang emas dengan pedang kerajaan dan bersarung tangan putih dan bersongkok baldu yang bertaja intan hadapannya serta memakai darjah dan kalung dan berhiasan pingat-pingat. Jubah kebesaran atau Kain Pelayang yang panjang daripada satin putih luarnya dan biru dalamnya dan di hujung jubah yang panjang meleret di belakang dijinjit oleh dua orang anak raja yang kecil comel memakai satin putih bagi seluar dan bajunya dan bersongkok hitam bertaburan emas.

Manakala bagi Tunku Ampuan Maimunah pula memakai baju kurung bertekup dada daripada baldu hitam dan kain benang emas bersongket dan bagi perhiasan ulunya bertudung kepala melam pai ke belakang kerana terpasang sebuah mutiara intan di atasnya bersambut cekap musang dan kalung intan serta bergelang intan  dengan cincin-cincin intan yang bersinaran gilang gemilang cahayanya. Kain Pelayang atau jubah kebesaran pula daripada satin putih sebelah luar dan biru sebelah dalam dan di hujung jubah kebesaran oleh dua anak raja perempuan yang comel dan lagi keadaan berkain baju satin putih serta bertudung kepala panjang ke belakang dan berhiasan dengan karangan emas intan.

Istiadat dimulakan dengan Yang Amat Mulia Ungku Muhammad Khalid, diikuti oleh Yang Mulia Ungku Muhammad, Ungku Sulaiman dan Ungku Usman berdatang sembah mohon kebenaran hendak memahkotakan baginda berdua.

Kemudian Yang Berhormat Dato’ Bentara Dalam ditimbal oleh Dato’ Penggawa Timur,Dato’ Penggawa Barat dan Dato’Yahya bin Awaluddin menyerahkan Mahkota Kerajaan kepada Imam Besar. Imam Besar, Tuan Haji Othman bin Hj Abdullah memakaikan Mahkota Kerajaan  kepada Kebawah Duli Yang Maha Mulia Sultan dengan dimulakan dengan selawat Nabi dan lafaz Bismillah.

Duli Yang Maha Mulia Almarhum Sultan Ibrahim
 
Kemudian Yang Berhormat Dato’ Bentara Luar ditimbal oleh Dato’ Seri Setia Raja, Dato’ Seri Amar Diraja dan Dato’Yahya bin Sha’ban membawa Mahkota Permaisuri kepada Imam Besar. Imam Besar memakaikan Mahkota Permaisuri kepada Kebawah Duli Yang Maha Mulia Tunku Ampuan Maimunah.


Duli Yang Maha Mulia Almarhumah Tunku Ampuan Maimunah

Dato' Menteri Besar mengadap dan menyeru Daulat Tuanku sebanyak 3 kali dan diikuti sekalian yang hadir. Serentak itu juga, nobat dibunyikan dan meriam sebanyak 21 das dilepaskan. Baginda mengucap syukur ke hadrat Allah dan kemudian Timbalan Imam Besar pula berselawat sebanyak 3 kali dan diikuti oleh hadirin.

Kemudian Dato Mufti, Dato' Syed Salim Al-Attas membaca doa selamat. Selepas itu, Baginda berdua menerima ucap selamat dari dif Kerajaan Eropah dan kemudian majlis mengadap ta'zim oleh kerabat dan rakyat oleh Dato Menteri Besar.

Istiadat Kemahkotaan tamat dengan baginda berdua berangkat meninggalkan Bilik Singgahsana Istana Besar.

Pada sebelah malamnya diadakan Majlis Santapan di Dewan Santapan Istana Besar yang dihadiri oleh dif jemputan yang tertentu.

Selepas itu tiada sambutan yang meriah diadakan kerana masih lagi dalam tempoh perkabungan.

Demikianlah serba sedikit  tentang Istiadat Kemahkotaan yang telah menjadi adat istiadat tradisi diraja Johor.

Sesungguhnya negeri Johor semamangnya kaya dengan adat istiadat diraja yang dihidupkan kembali oleh DYMM Sultan Ibrahim Almarhum Sultan Iskandar.