Siaran Langsung Istiadat Kemahkotaan DYMM Sultan Ibrahim Sultan Johor Pada 23 Mac 2015

Selasa, 10 Mac 2015

Tulisan Jawi, Lampu LED Hiasi Persiapan Sambutan Istiadat Kemahkotaan Sultan Johor

 Penggunaan tulisan jawi dalam gegantung dan papan iklan di bandar raya ini bersempena dengan Istiadat Kemahkotaan Sultan Johor, Sultan Ibrahim Sultan Iskandar merupakan antara elemen tradisional yang mahu diangkat semula pada acara Kemahkotaan Sultan Johor dalam tinjauan fotoBernama di jalan utama di sini hari ini.  --fotoBERNAMA (2015) HAKCIPTA TERPELIHARA



JOHOR BAHARU, 9 Mac (Bernama) -- Penggunaan tulisan jawi dalam gegantung dan papan iklan di bandar raya ini bersempena dengan Istiadat Kemahkotaan Sultan Johor, Sultan Ibrahim Sultan Iskandar merupakan antara elemen tradisional yang mahu diangkat semula pada acara ini.

Tinjauan Bernama baru-baru ini turut mendapati penggunaan lampu diod pemancar cahaya (LED) menjadi elemen menarik yang digunakan dalam hiasan sempena istiadat yang akan berlangsung dua minggu lagi.

Pihak berkuasa tempatan (PBT) kini giat melakukan persiapan bagi memastikan istiadat kemahkotaan Sultan Johor kelima dalam sejarah Johor Moden berlangsung dengan meriah dan lancar.

Majlis Bandaraya Johor Baharu (MBJB) contohnya, memberi fokus kepada aspek kebersihan dan pencahayaan di sekitar bandar raya ini.

Datuk Bandar Johor Baharu Datuk Abdul Rahman Mohamed Dewam berkata aspek kebersihan akan diberikan penekanan terutamanya di kawasan pusat bandar raya, laluan perarakan dan lokasi berlangsungnya istiadat.

"Pada masa yang sama, aspek pencahayaan turut diberikan perhatian apabila kebanyakan kawasan dalam bandar raya ini sudah dipasang dengan lampu hiasan LED bagi memeriahkan sambutan majlis ini," kata beliau

"Selain itu, skrin gergasi angkasa yang dipasang di hadapan pejabat MBJB akan menayangkan mesej dan grafik berkaitan istiadat ini," katanya kepada Bernama ketika dihubungi di sini.

Sementara itu, pihak Majlis Perbandaran Johor Baharu Tengah (MPJBT) pula berkata fokus utama akan diberikan dalam memastikan jalan utama yang terbabit dalam perarakan berkeadaan baik.

Ketua Unit Korporat dan Perhubungan Awam MPJBT Salwa Abdul Rashid berkata lampu hiasan pada bangunan MPJBT dan jejantas di sekitar bangunan itu turut diberi perhatian selain penaiktarafan landskap.

"Pihak MPJBT akan memastikan jalan raya yang akan terbabit dengan acara perarakan iaitu di sekitar Gelang Patah berada dalam keadaan baik.

"Selain itu, orang ramai juga dapat melihat bangunan MPJBT dan jejantas di hadapannya sudah dihias dengan lampu LED sebagai persediaan untuk menyambut istiadat ini," katanya lagi.

Tinjauan di pusat bandar raya mendapati suasana sambutan menjelang istiadat tersebut sudah mula dirasai di sekitar bandar raya ini terutama di pusat bandar raya.

Jalan raya utama di bandar raya ini sudah mula dihiasai dengan gegantung dan papan iklan yang memaklumkan tarikh berlangsungnya acara berkenaan dan kebanyakannya memaparkan mesej "Daulat Tuanku".

Turut kelihatan ialah bendera negeri Johor yang banyak dipasang di pembahagi jalan di jalan raya utama di pusat bandar raya.

Selain itu, kebanyakan jejantas juga sudah turut dihiasi dengan papan iklan yang memaklumkan maklumat acara kemahkotaan serta ada antaranya dihias dengan lampu LED.


- Sumber BERNAMA, 09 Mac 2015

Khamis, 5 Mac 2015

Konsert, Teater Warnai Sambutan Istiadat Kemahkotaan Sultan Johor

JOHOR BAHARU, 5 Mac (Bernama) -- Konsert pelbagai genre dan beberapa teater muzikal bakal mewarnai kemeriahan sempena sambutan Istiadat Kemahkotaan Sultan Johor Sultan Ibrahim Almarhum Sultan Iskandar.

Pengarah Yayasan Warisan Johor (YWJ) Mohamad Radif Kosnin berkata pihaknya mengatur pelbagai acara di bandar raya ini, yang bermula dengan persembahan kebudayaan pada 23 Mac mulai 8.30 malam hingga 10.30 malam di Dataran Majlis Bandaraya Majlis Bandaraya Johor Baharu (MBJB).

"Persembahan kebudayaan terbabit menumpukan kesenian pelbagai kaum di negeri ini oleh artis YWJ, Persatuan Soka Gakkai Malaysia, Temple Of Fine Arts dan artis-artis anak Johor," katanya kepada Bernama di sini.

Mohamad Radif berkata persembahan muzik pop dan jazz pula akan diadakan pada 24 Mac dan disusuli 'Malam Irama 60-an' pada 25 Mac dengan kedua-dua acara itu diadakan pada waktu yang sama.

Pada 27 Mac pula, beliau berkata sebuah persembahan muzikal yang memaparkan kesenian Islam iaitu 'Cahaya Jauhar' diadakan pada sebelah malam di Dataran Bandaraya MBJB yang dijayakan artis tempatan dan anak kelahiran Johor.

Menurut Mohamad Radif, pada keesokan harinya, Konsert Kemahkotaan yang bertema 'Raja dan Rakyat Berpisah Tiada' turut diadakan pada sebelah malam di dataran sama.

"Sultan Ibrahim dan kerabat diraja Johor dijangka berkenan menyaksikan konsert itu yang antara pengisiannya termasuk persembahan kebudayaan dan kesenian," katanya dengan menambah acara kemuncak tersebut akan dijayakan beberapa artis tanah air dan anak kelahiran Johor.

Sehubungan itu orang ramai dijemput hadir untuk memeriahkan acara itu.

Mohamad Radif juga berkata persembahan teater muzikal 'Wira Samudera' akan dipertontonkan kepada orang ramai di Stadium Tertutup Majlis Perbandaran Pasir Gudang (MPPG), Pasir Gudang, mulai 18 April sehingga 20 April depan.

Katanya teater berkenaan yang menyasarkan 9,000 penonton sepanjang tiga hari pementasan berkisar mengenai pengaruh Bugis dalam pentadbiran Kesultanan Melayu Johor dan bakal dijayakan 20 pemuzik,kumpulan koir serta lebih 100 pelakon.

"Kita berharap masyarakat khususnya rakyat negeri ini datang beramai-ramai menyaksikan teater yang dipentaskan buat julung kalinya. Kita mahu rakyat menghayati nilai-nilai yang terkandung dalam teater itu sekali gus mempelajari sejarah Johor menerusinya," katanya.

-- sumber BERNAMA, 05 Mac 2015

14 Jamadil Awal 1313 Hijrah - Hari Kemahkotaan DYMM Sultan Ibrahim & Tunku Ampuan Maimunah

Pada hari Sabtu, 14 Jamadil Awal 1313 Hijrah bersamaan 2 November 1895, kira-kira 120 tahun yang lalu, Istiadat Kemahkotaan  Ke bawah Duli Yang Maha Mulia Sultan Ibrahim dan Tunku Ampuan Maimunah telah diadakan di Istana Besar, Johor Bahru.

Istiadat tersebut diadakan selepas kira-kira 10 Jumaat selepas dimasyhurkan sebagai Sultan Johor pada 7 September 1895 atau kira-kira 6 bulan selepas kemangkatan Almarhum ayahanda baginda, Sultan Abu Bakar.

Istiadat Bersiram Tabal

Istiadat tersebut bermula dengan Istiadat Bersiram Tabal yang diadakan diatas sebuah Panca Persada yang dibina di kawasan lapang di antara bangunan Dewan dengan Istana Besar yang dikenali sebagai Bukit Bintang.

Bermula pada jam 3.30 petang, penjawat-penjawat perempuan memakai kain dedukung dan kain tetampan kuning duduk di sebelah tingkat sekeliling Panca Persada. Pada setiap penjuru Panca persada dikawal oleh hulubalang lelaki lengkap dengan tombak manakala kawasan sekeliling dikawal oleh askar dan polis.

Sultan Ibrahim dan Tunku Ampuan Maimunah berangkat turun dari Istana Besar dengan diringi pengiring perempuan dari kerabat. Kemudian Baginda berdua berangkat dengan kereta kuda yang ditarik dua ekor kuda sebandung.

Sebaik sahaja tiba, maka berbunyilah nobat dan bedil selamat 21 das ditembak dari Bukit Kubu (Bukit Timbalan) dan baginda berdua bersemayam di atas peterana yang disediakan.

Istiadat dimulakan dengan menepung tawar. Setelah selesai, maka nobat dibunyikan beserta lagu persiraman. Pada masa yang sama, air pancuran dari mulut naga dan lain-lain saluran dari penjuru persada memancut keluar.

Setelah selesai Istiadat Bersiram Tabal, baginda berdua turun dari Panca Persada dan berangkat naik ke Istana Besar dan tembakan meriam 21 das menandakan Istiadat Bersiram Tabal tamat.

Istiadat Kemahkotaan

Istiadat Kemahkotaan dimulakan kira-kira jam 4.30 petang dengan kehadiran kerabat, pegawai kerajaan, Gabenor, wakil Kerajaan Eropah dan dif jemputan khas di Bilik Singgahsana.

Kemudian pasukan Penjawat istana membawa masuk peralatan istiadat. Apabila sampai masa yang ditentukan, maka berserulah Bentara Kanan iaitu keberangkatan masuk Baginda berdua ke Istiadat Kemahkotaan. Lagu Bangsa Johor dimainkan sebelum baginda berdua bersemayam di atas takhta kerajaan.

Sultan Ibrahim memakai uniform hitam bertekat benang emas dengan pedang kerajaan dan bersarung tangan putih dan bersongkok baldu yang bertaja intan hadapannya serta memakai darjah dan kalung dan berhiasan pingat-pingat. Jubah kebesaran atau Kain Pelayang yang panjang daripada satin putih luarnya dan biru dalamnya dan di hujung jubah yang panjang meleret di belakang dijinjit oleh dua orang anak raja yang kecil comel memakai satin putih bagi seluar dan bajunya dan bersongkok hitam bertaburan emas.

Manakala bagi Tunku Ampuan Maimunah pula memakai baju kurung bertekup dada daripada baldu hitam dan kain benang emas bersongket dan bagi perhiasan ulunya bertudung kepala melam pai ke belakang kerana terpasang sebuah mutiara intan di atasnya bersambut cekap musang dan kalung intan serta bergelang intan  dengan cincin-cincin intan yang bersinaran gilang gemilang cahayanya. Kain Pelayang atau jubah kebesaran pula daripada satin putih sebelah luar dan biru sebelah dalam dan di hujung jubah kebesaran oleh dua anak raja perempuan yang comel dan lagi keadaan berkain baju satin putih serta bertudung kepala panjang ke belakang dan berhiasan dengan karangan emas intan.

Istiadat dimulakan dengan Yang Amat Mulia Ungku Muhammad Khalid, diikuti oleh Yang Mulia Ungku Muhammad, Ungku Sulaiman dan Ungku Usman berdatang sembah mohon kebenaran hendak memahkotakan baginda berdua.

Kemudian Yang Berhormat Dato’ Bentara Dalam ditimbal oleh Dato’ Penggawa Timur,Dato’ Penggawa Barat dan Dato’Yahya bin Awaluddin menyerahkan Mahkota Kerajaan kepada Imam Besar. Imam Besar, Tuan Haji Othman bin Hj Abdullah memakaikan Mahkota Kerajaan  kepada Kebawah Duli Yang Maha Mulia Sultan dengan dimulakan dengan selawat Nabi dan lafaz Bismillah.

Duli Yang Maha Mulia Almarhum Sultan Ibrahim
 
Kemudian Yang Berhormat Dato’ Bentara Luar ditimbal oleh Dato’ Seri Setia Raja, Dato’ Seri Amar Diraja dan Dato’Yahya bin Sha’ban membawa Mahkota Permaisuri kepada Imam Besar. Imam Besar memakaikan Mahkota Permaisuri kepada Kebawah Duli Yang Maha Mulia Tunku Ampuan Maimunah.


Duli Yang Maha Mulia Almarhumah Tunku Ampuan Maimunah

Dato' Menteri Besar mengadap dan menyeru Daulat Tuanku sebanyak 3 kali dan diikuti sekalian yang hadir. Serentak itu juga, nobat dibunyikan dan meriam sebanyak 21 das dilepaskan. Baginda mengucap syukur ke hadrat Allah dan kemudian Timbalan Imam Besar pula berselawat sebanyak 3 kali dan diikuti oleh hadirin.

Kemudian Dato Mufti, Dato' Syed Salim Al-Attas membaca doa selamat. Selepas itu, Baginda berdua menerima ucap selamat dari dif Kerajaan Eropah dan kemudian majlis mengadap ta'zim oleh kerabat dan rakyat oleh Dato Menteri Besar.

Istiadat Kemahkotaan tamat dengan baginda berdua berangkat meninggalkan Bilik Singgahsana Istana Besar.

Pada sebelah malamnya diadakan Majlis Santapan di Dewan Santapan Istana Besar yang dihadiri oleh dif jemputan yang tertentu.

Selepas itu tiada sambutan yang meriah diadakan kerana masih lagi dalam tempoh perkabungan.

Demikianlah serba sedikit  tentang Istiadat Kemahkotaan yang telah menjadi adat istiadat tradisi diraja Johor.

Sesungguhnya negeri Johor semamangnya kaya dengan adat istiadat diraja yang dihidupkan kembali oleh DYMM Sultan Ibrahim Almarhum Sultan Iskandar.

Rabu, 4 Mac 2015

Acara Istiadat Kemahkotaan Sultan Johor disusun

JOHOR BAHRU - Jabatan Pelancongan Negeri Johor menyusun pelbagai acara untuk orang ramai mulai 23 Mac hingga 30 Mac ini bersempena Istiadat Kemahkotaan Sultan Johor Sultan Ibrahim Almarhum Sultan Iskandar.
 
Pengerusi Jawatankuasa Pelancongan, Perdagangan dan Kepenggunaan Johor Datuk Tee Siew Kiong berkata acara berkenaan yang sekali gus menarik kehadiran pelancong ke negeri ini merangkumi perarakan bot berhias, pertunjukan bunga api, karnival sukan dan jamuan teh di bandar raya ini serta beberapa daerah lain.

Selasa, 3 Mac 2015

Istiadat Kemahkotaan Sultan Johor Tampilkan Tiga Elemen Budaya

JOHOR BAHARU (Bernama) -- Eksklusif, penuh budaya dan gilang gemilang adalah antara elemen istiadat kemahkotaan Sultan Johor, Sultan Ibrahim Almarhum Sultan Iskandar yang bakal diadakan pada 23 Mac ini.

Bakal menampilkan tiga jenis kebudayaan iaitu budaya Melayu, Barat dan Islam, acara itu amat dinantikan segenap lapisan rakyat Johor yang mahu melihat tradisi itu, yang sejak kali terakhir dipersembahkan 55 tahun lepas.


Yang Dipertua Jumaah Majlis Diraja Johor Datuk Abdul Rahim Ramli berkata istiadat kemahkotaan kali ini bertempat di Bilik Singgahsana, Istana Besar, yang bakal dipertontonkan secara langsung kepada rakyat melalui RTM.


Selasa, 24 Februari 2015

Keunikan Istiadat Kemahkotaan

Istiadat Kemahkotaan merupakan suatu istiadat yang unik dalam terutamanya di kalangan negeri-negeri Melayu. Johor merupakan negeri Melayu pertama mengadakan istiadat kemahkotaan iaitu pada tahun 1886 diikuti oleh Selangor pada 1903, Terengganu (1920) dan Kelantan (1921).

Bagi istiadat Kemahkotaan negeri Johor, kemahkotaan bermaksud suatu istiadat di mana Mufti meletakkan mahkota di kepala sultan dan sultanah dengan bacaan selawat Nabi dan bacaan doa.

Selasa, 10 Februari 2015

10 Februari 1960 - Hari Kemahkotaan DYMM Sultan Ismail & DYMM Sultanah Aminah


Pada pagi hari Rabu, 10 Februari 1960 bersamaan 13 Syaaban 1379, kira-kira 55 tahun yang lalu, Istiadat Kemahkotaan Ke Bawah Duli Yang Maha Mulia Sultan Ismail dan Yang Maha Mulia Sultanah Aminah Johor yang bersejarah diadakan di Istana Besar, Johor Bahru.


Istiadat kemahkotaan pada hari tersebut adalah seperti berikut:

Rabu, 4 Februari 2015

DYMM Permaisuri Johor Gelaran Baharu Suri DYMM Sultan Johor



Gelaran rasmi DYMM Raja Zarith Sofiah selepas kemahkotaan, adalah seperti berikut :

Gelaran Rasmi
Duli Yang Maha Mulia Raja Zarith Sofiah Binti Almarhum Sultan Idris Shah Permaisuri Johor

Selasa, 3 Februari 2015

Istiadat-Istiadat Sempena Kemahkotaan DYMM Sultan Johor

Menurut Dato' Abdul Rahim bin Ramli, Yang Dipertua Jumaah Majlis Diraja Johor dalam kenyataan media bertarikh 05 Januari 2015, sekurang-kurangnya terdapat 9 istiadat yang berlainan tetapi berkaitan akan diadakan sempena Kemahkotaan :

Ahad, 25 Januari 2015

Berkenan Mengadakan Majlis Perjumpaan Dengan DYMM Sultan Johor Darul Ta'zim

Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan Haji Hassanal Bolkiah Mu'izzaddin Waddaulah ibni Al-Marhum Sultan Haji Omar 'Ali Saifuddien Sa'adul Khairi Waddien, Sultan dan Yang Di-Pertuan Negara Brunei Darussalam, semasa berkenan mengadakan Majlis Perjumpaan dengan Duli Yang Maha Mulia Sultan Ibrahim ibni Al-Marhum Sultan Iskandar, Sultan Johor Darul Ta'zim. (Foto: Hamzah Mohiddin)


BANDAR SERI BEGAWAN, Rabu, 21 Januari. - Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan Haji Hassanal Bolkiah Mu’izzaddin Waddaulah ibni Al-Marhum Sultan Haji Omar 'Ali Saifuddien Sa’adul Khairi Waddien, Sultan dan Yang Di-Pertuan Negara Brunei Darussalam berkenan mengadakan Majlis Perjumpaan dengan Duli Yang Maha Mulia Sultan Ibrahim ibni Al-Marhum Sultan Iskandar, Sultan Johor Darul Ta'zim.

Sabtu, 10 Januari 2015

Istiadat Kemahkotaan Sultan Johor 23 Mac 2015

DYMM Sultan Ibrahim Sultan Iskandar dan DYMM Raja Zarith Sofiah Sultan Idris

JOHOR BAHARU, 5 Jan (Bernama) -- Istiadat Kemahkotaan Sultan Ibrahim Sultan Iskandar sebagai Sultan Johor kelima dalam sejarah Johor Moden akan diadakan di Istana Besar Johor pada 23 Mac ini, kata Yang Dipertua Jumaah Majlis Diraja Johor Dato' Abdul Rahim Ramli.

Beliau berkata bersempena kemahkotaan itu, Sultan Ibrahim turut berkenan memberi gelaran baharu kepada isteri baginda Raja Zarith Sofiah Sultan Idris sebagai Permaisuri Johor, gelaran yang pertama kali digunakan di negeri ini.

Beliau berkata 23 Mac juga diumumkan sebagai cuti umum bagi negeri Johor tahun ini, untuk memberi peluang kepada rakyat agar sama-sama meraikan hari kemahkotaan tersebut.

"Bagi menyerikan istiadat kemahkotaan itu, sekurang-kurangnya sembilan istiadat yang berlainan tetapi berkaitan akan diadakan bermula 16 Mac ini dan sambutan dijangka berlangsung selama tiga bulan," katanya kepada pemberita di Pejabat Jumaah Majlis Diraja Johor, di sini, Isnin.

Turut hadir Setiausaha Jumaah Majlis Diraja Dato' Abdul Latiff Yusof.

Abdul Rahim berkata istiadat kemahkotaan itu amat istimewa memandangkan kali terakhir istiadat itu diadakan adalah pada 55 tahun yang lepas.


“Kemahkotaan ini diadakan bukan dengan kuasa dan kehendak undang-undang bahkan ia merupakan warisan tradisi Diraja Johor mengikut Fasal 4, bahagian kelima Lembaga Aturan bagi Perintah Majlis Raja, Majlis Istana dan Agama 1922 memperuntukan kemahkotaan boleh diadakan pada sebarang masa.
“Kemahkotaan ini bagi memperkasa dan memartabakan darjat, kehormatan dan kebesaran serta kedaulatan raja.


"Istiadat kemahkotaan tuanku adalah eksklusif tetapi mengandungi ciri-ciri yang pernah diperlakukan dalam istiadat sebelumnya bagi mengekalkan dan memperkayakan budaya istana," katanya.

Beliau berkata kali terakhir istiadat kemahkotaan diadakan ialah pada 10 Februari 1960 ketika Almarhum Sultan Ismail Sultan Ibrahim dimahkotakan.


Abdul Rahim berkata antara ciri keunikan yang bakal berlangsung ialah Sultan Johor dan isterinya akan memakai kain pelayang diraja yang direka khas oleh tukang jahit kain pelayang Ratu Elizabeth.

“Majlis istiadat pemahkotaan itu akan menjemput semua Raja dan Sultan negara ini termasuk Sultan Brunei dan pemimpin negara serta negeri.

“Baginda tuanku juga berkenan berangkat ke daerah-daerah pada tarikh yang ditetapkan untuk perayaan bersempena pemahkotaan itu yang dijangka berlangsung selama tiga bulan,” katanya.

Beliau turut memaklumkan, Sultan Johor berkenan dua lambang rasmi kemahkotaan boleh digunakan untuk bahan cenderahati.

“Rakyat dan orang ramai khasnya peniaga cenderamata digalak membuat dan menjual cenderahati dengan menggunakan lambang dan perkataan yang dipersetujukan dengan syarat mendapat kebenaran kerajaan terlebih dahulu.


Sempena istiadat itu, Abdul Rahim berkata setem pos yang direka khas untuk kemahkotaan dalam denominasi 60 sen, 80 sen dan RM1 serta sampul surat hari pertama kemahkotaan akan dicetak dan dijual oleh Pos Malaysia mulai 23 Mac.

Medallion emas bersempena kemahkotaan itu juga akan dijual oleh Bank Negara, katanya.

Lebih 30,000 rakyat dijangka menyaksikan istiadat kemahkotaan yang akan disiarkan secara langsung melalui stesen televisyen terpilih dan juga skrin besar di Dataran Bandaraya Johor Baharu, katanya.


Lambang kemahkotaan ini boleh mula digunapakai mulai 1 Januari dan maklumat terperinci mengenai istiadat ini boleh dilayari di laman web, kemahkotaan.johor.gov.my.

(sumber : Bernama & Sinar Harian)

ABDUL RAHIM RAMLI (kiri) dan Abdul Latiff Yusof menunjukkan lambang istiadat pemahkotaan dalam sidang akhbar di Johor Bahru, semalam. – Utusan/AMIN FARIJ HASAN