Siaran Langsung Istiadat Kemahkotaan DYMM Sultan Ibrahim Sultan Johor Pada 23 Mac 2015

Selasa, 24 Februari 2015

Keunikan Istiadat Kemahkotaan

Istiadat Kemahkotaan merupakan suatu istiadat yang unik dalam terutamanya di kalangan negeri-negeri Melayu. Johor merupakan negeri Melayu pertama mengadakan istiadat kemahkotaan iaitu pada tahun 1886 diikuti oleh Selangor pada 1903, Terengganu (1920) dan Kelantan (1921).

Bagi istiadat Kemahkotaan negeri Johor, kemahkotaan bermaksud suatu istiadat di mana Mufti meletakkan mahkota di kepala sultan dan sultanah dengan bacaan selawat Nabi dan bacaan doa.


Selepas diiktiraf dengan gelaran Sultan oleh Kerajaan Inggeris melalui Perjanjian Setia pada 11 Disember 1885, Almarhum Sultan Abu Bakar telah mengilhamkan pembuatan mahkota (regalia) dan peralatan istiadat diraja atau insignia bertujuan menjadikan negeri Johor sebagai negeri moden dan mendahului negeri-negeri Melayu yang lain.

Ketika berada di Britain, Almarhum Sultan Abu Bakar telah menempah  pembuatan mahkota kerajaan serta peralatan istiadat diraja yang lain. Mahkota Kerajaan Johor dibuat oleh firma J.W. Benson London yang terkenal dalam pembuatan jam dan barang kemas diraja England. Selain mahkota dan alat kebesaran diraja, firma J.W Benson juga membuat darjah kebesaran diraja Johor.

Baginda telah dimasyhurkan dengan gelaran Sultan Abu Bakar pada suatu istiadat ringkas pada hari Sabtu 13 Februari 1886 bersamaan 9 Jamadil Awal 1303 Hijrah di Istana Besar oleh Dato' Menteri Besar ketika itu, Jaafar bin Haji Muhammad.

Selepas menandatangani perjanjian Setia 1885, baginda berangkat balik ke Johor dalam bulan Jun 1886 dan tiba di Singapura pada 8 Julai 1886 dan disambut oleh Gabenor serta kenamaan Singapura dan diberi kehormatan dengan tembakan meriam 17 das, Lagu Selamat Sultan dan pemeriksaan kawalan kehormatan.

Kemudian pada hari Khamis 29 Julai 1886 bersamaan 27 Syawal 1303 Hijrah, Sultan Abu Bakar telah dimahkotakan sebagai Sultan Johor Moden yang pertama sekaligus menjadi raja Melayu pertama yang dimahkotakan. Istiadat kemahkotaan tersebut diadakan di Bilik Singgahsana Istana Besar Johor Bahru pada kira-kira jam 4.30 petang.
 


Negeri Johor merupakan negeri Melayu pertama mengadakan mahkota untuk Raja. Walau bagaimanapun, kemahkotaan adalah adat tradisi diraja Johor dan bukannya tertakluk kepada undang-undang. Oleh itu terpulang kepada Sultan yang telah dimasyhurkan untuk mengadakan Istiadat Kemahkotaan atau tidak. Sebagai contoh, Almarhum Sultan Iskandar enggan dimahkotakan kerana baginda berpendapat perbelanjaan dalam mengadakan Istiadat Kemahkotaan lebih perlu disalurkan kepada kebajikan rakyat dan pembangunan Negeri Johor.

Berbeza pula jika dibandingkan dengan Istiadat Pertabalan atau Installation seperti Istiadat Pertabalan Yang Dipertuan Agong. Tabal itu sendiri berasal dari perkataan Arab yang bermaksud sejenis gendang yang digunakan dalam Nobat. Oleh yang demikian, nobat digunakan bagi mengiringi Istiadat Pertabalan, sebagai tanda seorang Raja telah ditabalkan. Dalam sejarah Istiadat Kemahkotaan Diraja Johor, kali terakhir nobat digunakan ialah ketika Istiadat Kemahkotaan Almarhum Sultan Ibrahim dan Tengku Ampuan Maimunah pada 2 November 1895.

Istiadat Kemahkotaan Sultan Johor merupakan adunan budaya Barat dengan budaya Melayu yang bercirikan Islam. Almarhum Sultan Abu Bakar pernah menghadiri Istiadat Kemahkotaan dari istana Barat dan dari situ baginda cuba mengadunkan istiadat tersebut agar selari dengan agama Islam dan adat resam masyarakat Melayu.

Keunikan Istiadat Kemahkotaan menjadikan istiadat ini sentiasa ditunggu-tunggu oleh rakyat Johor apatah lagi istiadat jarang-jarang berlaku. Contohnya, kita perlu menunggu hingga 55 tahun untuk Istiadat Kemahkotaan kerana kali terakhir ianya dilakukan ialah pada 10 Februari 1960 iaitu ketika Almarhum Sultan Ismail dan Almarhumah Sultanah Aminah dimahkotakan.

 


Oleh itu, tarikh 23 Mac 2015 pasti dinanti-nantikan oleh seluruh rakyat Johor khasnya dan rakyat Malaysia umumnya kerana dalam Istiadat Kemahkotaan kali ini suri DYMM Sultan Ibrahim iaitu DYMM Raja Zarith Sofiah akan dikurniakan gelaran Pemaisuri Johor.

Daulat Tuanku.