Siaran Langsung Istiadat Kemahkotaan DYMM Sultan Ibrahim Sultan Johor Pada 23 Mac 2015

Sabtu, 14 Mac 2015

Swasta Disaran Beri Pelepasan Cuti Sempena Istiadat Kemahkotaan Sultan Johor

JOHOR BAHARU, 13 Mac (Bernama) -- Sektor swasta di negeri ini disaran memberi pelepasan cuti umum kepada pekerja masing-masing sempena Istiadat Kemahkotaan Sultan Johor Sultan Ibrahim Almarhum Sultan Iskandar, 23 Mac ini.

Yang Dipertua Jumaah Majlis Diraja Johor Datuk Abdul Rahim Ramli berkata cuti berkenaan dapat memberi peluang kepada rakyat untuk bersama-sama meraikan istiadat berkenaan selain menunjukkan taat setia terhadap Sultan Johor.

"Kali terakhir Istiadat Kemahkotaan ini ialah bagi Almarhum Sultan Ismail pada tahun 1960. Oleh itu, pelepasan cuti umum membolehkan rakyat menyaksikan istiadat dan pelbagai acara perayaan kemahkotaan pada hari berkenaan," katanya dalam taklimat Istiadat Kemahkotaan berkenaan, di sini, Jumaat.

Kerajaan negeri Johor sebelum ini mengumumkan 23 Mac ini sebagai hari kelepasan am negeri ini bagi memberi peluang kepada rakyat meraikan istiadat itu yang akan berlangsung di Istana Besar, di sini.

Selain istiadat, perarakan diraja sejauh tujuh kilometer dan pelbagai persembahan kebudayaan turut diatur pada hari berkenaan yang dijangkakan disaksikan lebih 40,000 rakyat Johor.

Sehubungan itu, Abdul Rahim berharap majikan sektor swasta mengikuti langkah kerajaan negeri dengan memberi pelepasan cuti dan tidak terlalu mementingkan keuntungan perniagaan semata-mata.

Sementara itu, beliau berkata Che' Puan Khaleeda Bustamam akan menggunakan gelaran Yang Mulia Che' Puan Khaleeda Bustamam, mulai 15 Mac ini.

Che' Puan Khaleeda Bustamam mendirikan rumahtangga dengan Tunku Mahkota Johor Tunku Ismail Sultan Ibrahim pada 24 Okt lepas.

Terdahulu pada taklimat berkenaan, Abdul Rahim menerangkan kepada petugas media tempatan berhubung pelbagai perkara termasuk sejarah Kesultanan Sultan Johor, aturcara istiadat dan acara-acara perayaan kemahkotaan.

-- BERNAMA, 13 Mac 2015

Tiada ulasan:

Catat Ulasan