Siaran Langsung Istiadat Kemahkotaan DYMM Sultan Ibrahim Sultan Johor Pada 23 Mac 2015

Isnin, 23 Mac 2015

46 Bayi Dilahirkan Pada Hari Istiadat Kemahkotaan Sultan Johor

JOHOR BAHARU, 23 Mac (Bernama) -- Seramai 46 bayi dilahirkan di seluruh Johor setakat 12 tengah hari tadi, sekali gus berkongsi tarikh bersejarah sempena Istiadat Kemahkotaan Sultan Johor Sultan Ibrahim Almarhum Sultan Iskandar di sini.

Pengerusi Jawatankuasa Kesihatan dan Alam Sekitar Datuk Ayub Rahmat berkata jumlah kelahiran itu dijangka bertambah menjelang tengah malam ini.

Ayub, yang melawat Wad Bersalin Hospital Sultanah Aminah, berkata pihaknya bercadang meraikan ibu dan bayi mereka sempena peristiwa bersejarah itu.

"Kelahiran bayi-bayi ini merupakan sebahagian daripada sejarah yang tercipta hari ini. Kita harapkan semangat kecintaan dan jati diri bangsa Johor turut diterap dalam diri bayi-bayi ini apabila mereka membesar kelak," katanya kepada pemberita.

Sementara itu, Norshaliza Mohd Basarudin, 32, melahirkan rasa gembira dan bersyukur kerana dapat menyambut peristiwa bersejarah itu dengan kelahiran anak ketiganya.

"Saya jangka bayi dilahirkan pada Jumaat ini tetapi dilahirkan lebih awal pula," katanya, yang bekerja sebagai pembantu perpustakaan di Universiti Teknologi Malaysia.

Beliau melahirkan bayi lelaki seberat 3.2 kilogram itu pada 5.53 pagi tadi.

-- BERNAMA, 23 Mac 2015

Tiada ulasan:

Catat Ulasan