Siaran Langsung Istiadat Kemahkotaan DYMM Sultan Ibrahim Sultan Johor Pada 23 Mac 2015

Isnin, 23 Mac 2015

Raja Zarith Sofiah Bergelar Permaisuri Johor

JOHOR BAHARU, 23 Mac (Bernama) -- Raja Zarith Sofiah Almarhum Sultan Idris Shah hari ini dimahkotakan sebagai Permaisuri Johor, gelaran yang pertama kali diperkenalkan di negeri ini.

Gelaran itu diperkenan Sultan Johor Sultan Ibrahim Almarhum Sultan Iskandar yang turut dimahkotakan sebagai Sultan Johor Kelima dalam sejarah Johor Moden dalam istiadat gilang gemilang di Istana Besar.

Diputerikan pada 14 Ogos 1959 di Hospital Batu Gajah Perak, Raja Zarith Sofiah merupakan puteri kedua dan anakanda ketiga kepada Almarhum Sultan Idris Shah dan Raja Perempuan Perak, Raja Muzwin Almarhum Raja Ariff Shah.

 
Mufti Johor Datuk Mohd Tahrir Samsudin meletakkan Mahkota Permaisuri kepada Permaisuri Raja Zarith Sofiah Sultan Idris Shah


Raja Zarith Sofiah melanjutkan pengajian di Cheltenham Ladies College, England sehingga tamat Tingkatan Enam sebelum meneruskan pengajian di Davies College, London pada tahun 1977.

Pada tahun berikutnya, baginda diterima masuk ke Somerville College, Universiti Oxford dan memperoleh Ijazah Bachelor of Arts pada tahun 1983.

Raja Zarith Sofiah merupakan ahli bahasa yang memilih pengajian bahasa Mandarin semasa di Oxford dan turut mempelajari bahasa lain termasuk Perancis dan Itali.

Baginda turut mewarisi bakat seni lukis daripada ayahanda baginda.

Baginda mendirikan rumah tangga dengan Sultan Ibrahim pada usia 23 tahun dan dikurniakan lima orang putera dan seorang puteri.

Antara penglibatan baginda dalam aktiviti kemasyarakatan termasuk menjadi Penaung Persatuan Cerebral Palsy Johor dan Penasihat Diraja Bulan Sabit Merah Malaysia.

Baginda turut menubuhkan Yayasan Raja Zarith Sofiah Negeri Johor bagi mengutip dana untuk mengadakan pelbagai program pelajaran terutama pembelajaran secara Islam.

Baginda juga aktif dalam bidang penulisan dengan menghasilkan tulisan dan buku cerita kanak-kanak dan pernah menjadi penulis di sebuah akhbar berbahasa Inggeris.

Sesungguhnya Permasuri Johor ini merupakan seorang yang peramah, berjiwa rakyat serta amat disenangi dan disanjungi rakyat.

-- BERNAMA
, 23 Mac 2015

Tiada ulasan:

Catat Ulasan