Siaran Langsung Istiadat Kemahkotaan DYMM Sultan Ibrahim Sultan Johor Pada 23 Mac 2015

Ahad, 22 Mac 2015

Keutamaan baginda, Johor dan rakyat


 Menteri Besar Johor, Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin



MUKADIMAH: Istiadat Kemahkotaan Sultan Johor, Sultan Ibrahim Sultan Iskandar yang bakal berlangsung pada Isnin ini adalah upacara istimewa yang akan mewarnai sejarah negeri Permata Selatan ini.

Era Johor Moden di bawah pemerintahan Dinasti Temenggong menyaksikan negeri ini bukan sahaja tidak pernah dijajah pada zaman kolonial, malah diiktiraf oleh Britain sebagai  rakan perdagangan penting. Untuk itu dalam wawancara bersama menteri besar, Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin selaku wakil kepada kerajaan negeri dan rakyat Johor menceritakan sendiri bagaimana pentingnya Istiadat Kemahkotaan Sultan Johor yang kelima ini dan hubungannya dengan pihak istana.


MINGGUAN: Bagaimana pandangan Datuk Seri tentang istiadat kemahkotaan yang bakal berlangsung Isnin ini?

MOHAMED KHALED: Alhamdulillah, saya percaya seluruh rakyat Johor berasa bertuah kerana selepas 55 tahun, kita berpeluang menyaksikan detik bersejarah Istiadat Kemahkotaan yang jarang sekali berlangsung. Istiadat Kemahkotaan bukanlah sekadar satu istiadat budaya semata-mata, ia harus dilihat dari konteks yang lebih besar.

Terdapat sekurang-kurang tiga keistimewaan istiadat ini.

Pertama; ini adalah suatu penzahiran hubungan rapat rakyat dan institusi kesultanan. Sekali gus selari dengan ungkapan, “Raja dan rakyat berpisah tiada,” yang lazim kita dengar selama ini.

Kedua; kemeriahan sambutan dan penyertaan rakyat dalam istiadat ini adalah lambang kasih sayang dan rasa hormat seluruh warga Johor kepada institusi istana.

Ketiga; istiadat kemahkotaan ini merupakan satu kelangsungan dan warisan takhta Kesultanan Johor yang turut menggambarkan sejarah panjang kesultanan negeri Johor. Malah, jika saya boleh berkongsi sedikit, sejak beberapa bulan lepas, pelbagai lapisan rakyat di segenap pelosok Johor telah bersama-sama dengan pihak berkuasa tempatan melakukan persiapan. Ada yang menggantung bendera Johor di rumah masing-masing. Para peniaga pula giat menghias premis perniagaan dengan pelbagai ucapan menjunjung kasih kepada DYMM Sultan Ibrahim. Malah anak-anak kecil Johor ligat dengan pelbagai keterujaan yang penuh berwarna-warni menunggu acara besar ini.

Setiap warga Johor punya cara sendiri dalam bersama-sama menyambut kedatangan hari bersejarah tersebut. Jadi, saya melihat istiadat kemahkotaan ini sebagai satu upacara penting yang mengukuhkan kedaulatan Kesultanan Johor serta hubungan baik istana dengan rakyat.

Datuk Seri mempunyai hubungan yang unik dengan Sultan Ibrahim kerana pernah bersekolah bersama-sama baginda sewaktu remaja. Bagaimana hubungan ini diterjemahkan dalam usaha memajukan ekonomi Johor?

MOHAMED KHALED: Di mana-mana negeri sekalipun, hubungan baik antara sultan dengan menteri besar adalah penting. Hubungan yang baik begini membolehkan segala dasar kerajaan dapat dilaksanakan dengan lancar dan berjaya. Pada saya, memang benar tidak dapat dinafikan yang kelancaran agenda pembangunan dan pemodenan Johor turut disumbangkan oleh keupayaan pentadbiran negeri mendapat perkenan dan sentiasa saling bekerjasama dengan pihak Istana.

Pertama; keserasian begini bukan sahaja memudahkan urusan pentadbiran, sebaliknya membolehkan segala ikhtiar dan masa difokuskan kepada program-program pembangunan dan kesejahteraan rakyat, khususnya yang telah digariskan dalam pembentangan Bajet 2015 yang lalu.

Kedua; dalam memeta pembangunan negeri Johor, pentadbiran negeri dan istana sering berfikiran terbuka dalam memastikan agar keputusan yang diambil adalah yang terbaik kepada rakyat. Saranan, cadangan dan teguran daripada pihak istana sering diambil sebagai panduan dalam memperbaiki sebarang kelemahan yang terdapat dalam himpunan rencana pembangunan kita.

Pada saya, ini adalah sesuatu yang amat positif dan saya amat berharap hubungan baik ini dapat diperkukuh dan dikekalkan.

Daripada kaca mata Datuk Seri yang sudah mengenali baginda seawal di bangku persekolahan dan sebagai Menteri Besar, bagaimana perwatakan dan peribadi DYMM Sultan ?

MOHAMED KHALED: Saya tidak rasa yang saya berada dalam kedudukan terbaik untuk bercakap tentang perkara ini. Sebenarnya, ketika di bangku sekolah kami tidak terlalu rapat. Ketika itu saya tahu DYMM Tuanku merupakan anak DYMM Sultan Johor manakala saya pula ialah anak kepada pekerja di Istana. Jadi, wujud sedikit jurang kerana saya secara peribadi amat menghormati baginda.

Namun kemudian, sebagai menteri besar, saya berpeluang berkhidmat kepada baginda. Saya boleh katakan bahawa DYMM Tuanku Sultan adalah seorang raja yang sangat budiman dan mempunyai pandangan jauh.Keutamaan baginda ialah Johor dan rakyatnya. Itu saya berani jamin. Baginda merupakan sultan yang sangat mengambil berat tentang kemaslahatan rakyat Johor.

Saya sering ditanyakan tentang keadaan rakyat jelata dan baginda selalu memandang serius perkara ini. Kerana itulah, dalam menyokong wawasan baginda melihat Johor muncul sebagai negeri paling maju, moden, bersih, bersatu padu dan berdaya saing daripada segi ekonomi, pembangunan manusia, pemeliharaan adat dan budaya serta kecanggihan prasaranan dan infrastruktur di Malaysia, tidak ada yang lebih bermakna bagi saya selaku menteri besar selain bekerja keras bersama-sama dengan baginda merealisasikan agenda murni ini agar berjaya dan berkesan.

Apakah harapan Datuk Seri selepas selesai istiadat kemahkotaan dan sambutanya nanti?

MOHAMED KHALED: Seperti yang saya jelaskan, hubungan baik antara kerajaan negeri dengan istana seperti sekarang amat penting. Harapan saya, DYMM Tuanku akan terus diberkati oleh Allah SWT bersemayam di atas takhta Kerajaan Johor dengan penuh keberkataan dan kesejahteraan. Semoga segala yang dirancang dan disusun oleh kerajaan negeri demi kemaslahatan seluruh rakyat jelata mendapat keredaan Allah SWT dan dipermudahkan pelaksanaannya.

Saya percaya, kemajuan dan kemodenan Johor akan turut menjadi tamsilan dan bukti kebijaksaan pentadiran negeri ini sama ada di pihak jentera negeri mahupun istana. Jesteru, saya mengambil kesempatan ini agar seusai sahaja istiadat kemahkotaan nanti, seluruh rakyat Johor akan lebih bersemangat dalam memberikan yang terbaik buat negeri Johor. Inilah masa untuk kita sama-sama berbakti dan menzahirkan kesetiaan kepada institusi beraja dan negeri ini.

Apa pesanan Datuk Seri kepada rakyat Johor sempena istiadat kemahkotaan ini.

MOHAMED KHALED: Kepada seluruh rakyat Johor, marilah bersama-sama menjadi sebahagian daripada detik bersejarah istiadat kemahkotaan yang akan diadakan pada 23 Mac ini.

Sama-sama kita doakan agar istiadat bersejarah ini nanti berlangsung dengan jayanya, penuh gilang gemilang, lancar dan diberkati seperti yang telah dirancang.

Lebih penting, saya harap rakyat Johor akan berbangga dengan istiadat ini yang merupakan suatu petunjuk besar sejarah panjang dan unik negeri ini. Perkara ini adalah warisan yang mendefinisikan citra dan budaya masyarakat Johor dan kita harus berbangga dengannya. Negeri ini bukan sahaja bersultan dan berdaulat.

Ia harus kekal bersultan dan berdaulat, Insya-Allah.