Siaran Langsung Istiadat Kemahkotaan DYMM Sultan Ibrahim Sultan Johor Pada 23 Mac 2015

Rabu, 4 Mac 2015

Acara Istiadat Kemahkotaan Sultan Johor disusun

JOHOR BAHRU - Jabatan Pelancongan Negeri Johor menyusun pelbagai acara untuk orang ramai mulai 23 Mac hingga 30 Mac ini bersempena Istiadat Kemahkotaan Sultan Johor Sultan Ibrahim Almarhum Sultan Iskandar.
 
Pengerusi Jawatankuasa Pelancongan, Perdagangan dan Kepenggunaan Johor Datuk Tee Siew Kiong berkata acara berkenaan yang sekali gus menarik kehadiran pelancong ke negeri ini merangkumi perarakan bot berhias, pertunjukan bunga api, karnival sukan dan jamuan teh di bandar raya ini serta beberapa daerah lain.

 
"Perarakan bot berhias akan diadakan pada pukul 8.30 malam di Danga Bay, di sini, antara 23 Mac sehingga 30 Mac. Ia akan disertai lebih 20 agensi kerajaan dan swasta," kata beliau kepada pemberita petang ini selepas melawat tapak untuk sambutan Cap Goh Mei anjuran IWH, di Danga Bay, di sini.

Bagi pertunjukan bunga api pula, ia akan berlangsung selama lima hari dalam tempoh yang sama mulai pukul 8.30 malam di Danga Bay dan kemudiannya pada 4 April bersempena pertunjukan tattoo dari pasukan beruniform di Kluang.

Sementara itu, satu karnival sukan melibatkan sukan seperti bola tampar pantai, tarik tali, bola jaring pantai serta bola sepak pantai akan diadakan mulai 26 hingga 29 Mac di Danga Bay.

Turut akan diadakan ialah Jelajah Kemahkotaan, iaitu kejohanan berbasikal melibatkan perjalanan sejauh 400 kilometer ke seluruh daerah di negeri ini.

Tee berkata, jamuan teh peringkat daerah Johor Baharu pula akan diadakan di padang bola sepak Gelang Patah, di sini, 28 Mac.

Beliau berkata, orang ramai dijemput hadir bagi memeriahkan suasana dan menggalakkan agensi pelancongan untuk membuat pakej pelancongan yang unik dan berkonsepkan acara kemahkotaan.

"Kita harap usahawan kecil dan sederhana dapat mengambil kesempatan ini untuk memasarkan produk cenderahati atau ole-ole yang berkaitan dengan kemahkotaan sebagai kenang-kenangan kepada orang ramai dan pelancong.

Mereka yang berminat boleh menggunakan logo rasmi kemahkotaan untuk dicetak pada produk mereka dan mendapatkan logo rasmi terbabit di Bilik Sekretariat Kemahkotaan di Bangunan Sultan Ibrahim, Bukit Timbalan ataupun di Jabatan Pelancongan Negeri Johor.
-BERNAMA, 03 MAC 2015