Siaran Langsung Istiadat Kemahkotaan DYMM Sultan Ibrahim Sultan Johor Pada 23 Mac 2015

Isnin, 30 Mac 2015

Kesultanan Johor pencetus amalan birokrasi moden

Oleh Mohd Ayob Abd Razid


SULTAN Johor, Sultan Ibrahim bersama Permaisuri Johor, Raja Zarith Sofiah ketika Istiadat Kemahkotaan di Istana Besar, baru-baru ini. - Foto Aizuddin Saad


Peristiwa bersejarah pemahkotaan Sultan Johor Sultan Ibrahim Almarhum Sultan Iskandar dalam satu istiadat gilang gemilang di Istana Besar pada 23 Mac lalu cukup menarik untuk disoroti, khusus dalam mengimbau kembali pengasas kesultanan Johor moden yang diasaskan oleh Almarhum Sultan Abu Bakar.

Di sisi yang lain, pemahkotaan Sultan Johor yang penuh adat istiadat diraja itu memang cukup menarik kerana ia dapat mengembalikan nostalgia kedaulatan Raja-Raja Melayu pada zaman sebelum merdeka. Kali terakhir istiadat itu diadakan ialah 55 tahun lalu, iaitu pada 10 Februari 1960 semasa Almarhum Sultan Ismail Sultan Ibrahim.

Dalam istiadat pemahkotaan kali ini Raja Zarith Sofiah Sultan Idris Shah telah dimahkotakan sebagai Permaisuri Johor, gelaran ini adalah yang kali pertama digunakan di negeri itu. Sebelum ini, isteri Sultan Johor bergelar Sultanah Johor. Istiadat itu menjadi lebih bermakna apabila ia turut dihadiri Raja-Raja Melayu yang masih wujud di Nusantara, iaitu Sultan Brunei Sultan Hasanal Bolkiah dan Raja-Raja Melayu yang ada di negara kita.
 
Kesultanan Johor moden bermula dengan pemerintahan Sultan Abu Bakar (1862-1895), diikuti dengan Sultan Ibrahim (1895-1959), Sultan Ismail (1959-1981), Sultan Iskandar (1981-2010) sehinggalah sekarang ini, iaitu Sultan Ibrahim. Sultan Abu Bakar menaiki takhta Johor pada tahun 1862, selepas kemangkatan ayahandanya. Baginda diberi gelaran Datuk Temenggong Abu Bakar Seri Maharaja Johor.

Sebelum itu, Johor sudah pun mempunyai beberapa pemimpin berwibawa. Antaranya ialah Temenggong Daeng Ibrahim (1825-1826) yang telah memulakan sistem birokrasi moden.
 


ALMARHUM Sultan Abu Bakar banyak melaksanakan program pemodenan dalam pentadbiran baginda untuk menjadikan Johor sebagai negeri yang disegani.

Kekal kedaulatan negeri

Kemuncak pemodenan Johor dilakukan oleh Sultan Abu Bakar sehingga melayakkan baginda digelar Bapa Pemodenan Johor. Kebijaksanaan Sultan Abu Bakar melaksanakan program pemodenan dalam pentadbirannya menjadikan Johor negeri Melayu terakhir menerima Penasihat British berbanding dengan negeri-negeri Melayu yang lain. Dasar persahabatan dengan British yang diamalkan baginda berjaya mengekalkan kedaulatan negeri itu sehingga tahun 1914.

Baginda mempunyai pandangan jauh untuk membangunkan Johor. Antara langkah yang baginda lakukan ialah mengadakan hubungan baik dengan Britain. Baginda sering ke England untuk mempelajari cara pentadbiran terbaik bagi membangunkan Johor. Pada tahun 1868 baginda melawat dan menghadap Ratu Victoria di England. Ratu Victoria telah mengurniakan gelaran bintang 'Knight Commander Of The Star Of India' dan Maharaja Johor kepada baginda.

Selain England, baginda juga melawat Itali dan Turki pada tahun 1893. Untuk memastikan adanya hubungan baik yang dapat memberikan manfaat kepada pentadbiran, maka pada tahun 1885 baginda membuat Perjanjian Persahabatan antara Johor dengan British. Melalui perjanjian itu Johor diiktiraf negeri bebas dan berdaulat. Melalui perjanjian itu juga baginda diiktiraf sebagai Sultan Johor setelah Sultan Ali dari keturunan Bendahara mangkat pada tahun 1877.

British juga meletakkan kedudukan Sultan Johor lebih tinggi daripada Pesuruhjaya Tinggi di Singapura. Ini memberikan kelebihan kepada baginda untuk berhubung terus dengan kerajaan British di London tanpa melalui Pesuruhjaya Tinggi. Kedudukan ini memberikan kesan positif kepada pentadbiran baginda. Paling penting ialah Kesultanan Johor berjaya menyekat kuasa British terhadap Johor walaupun Sultan Abu Bakar bersetuju menerima seorang Konsul British tetapi bukan bertaraf Penasihat British.

Antara langkah pemodenan yang dilaksanakan Sultan Abu Bakar ialah memodenkan pentadbiran Johor dengan mengadakan mahkamah, perkhidmatan pos dan Jabatan Kerja Raya. Keamanan negeri turut dititikberatkan dengan menubuhkan pasukan polis dan tentera.
 


BANGUNAN Sultan Ismail di Kota Iskandar menjadi pusat pentadbiran Johor dan mercu tanda Iskandar Malaysia. - Foto Mohamad Shahril Badri Saali

Permodenan pentadbiran Johor

Dalam melaksanakan pentadbirannya, baginda turut mengambil pegawai British sebagai penasihatnya dalam pentadbiran. Ini menyebabkan British merasakan mereka terbabit sama dalam pentadbiran di Johor.

Untuk memakmurkan ekonomi, Johor meneruskan Sistem Kangcu yang diasaskan oleh Temenggong Daeng Ibrahim. Sistem ini bermula apabila Temenggong Daeng Ibrahim mengeluarkan Surat Sungai yang pertama kepada seorang pekebun Cina yang bernama Lau Lib Keng, pada 9 Oktober 1844. 'Kangchu' adalah perkataan Teochiew yang bererti Ketua Petempatan Cina, manakala Kerajaan Johor menggunakan istilah sungai.

Surat Sungai itu telah memulakan penghijrahan orang-orang Cina dari Singapura ke Johor dan bermulalah penanaman gambir dan lada hitam secara komersial di Tanah Melayu. Kesannya Johor menjadi pengeksport lada hitam dan gambir terbesar dunia. Baginda Sultan Abu Bakar turut mementingkan hal kebajikan rakyat. Baginda menjaga kebajikan rakyat dengan membina sekolah, hospital dan jalan raya.
 


MUFTI Johor, Datuk Mohd Tahrir Samsudin meletakkan Mahkota Permaisuri kepada Permaisuri Raja Zarith Sofiah Sultan Idris Shah pada majlis Istiadat Kemahkotaan Sultan Ibrahim Sultan Iskandar sebagai Sultan Johor kelima di Istana Besar, baru-baru ini. - Foto BERNAMA

Jika kita mengkaji sejarah perlembagaan moden di Tanah Melayu, maka kita akan dapati Johor adalah negeri terawal memperkenalkan perlembagaan moden di negara ini. Sultan Abu Bakar adalah Raja Melayu yang mula-mula mengisytiharkan Undang-Undang Tubuh Kerajaan Johor tahun 1895 yang adalah perlembagaan bertulis pertama di Tanah Melayu. Ia menjadi asas kepada pembentukan institusi Raja Berperlembagaan.

Menurut Ruslan Zainuddin dan Abd Sukor Yusof (2014), Undang-Undang Tubuh Kerajaan Johor adalah satu himpunan undang-undang yang menjadi perlembagaan asas bagi negeri Johor. Kewujudannya menjadikan Johor sebagai negeri Melayu pertama yang mengamalkan sistem Raja Berperlembagaan. Undang-undang itu telah dimasyhurkan selepas kemangkatan Sultan Abu Bakar, iaitu pada 14 September 1895 oleh anakanda baginda, Sultan Ibrahim.

Antara perkara yang terkandung dalam Undang-Undang Tubuh Kerajaan Johor itu ialah Sultan tidak boleh menyerahkan Johor kepada kuasa asing. Ini dinyatakan dalam Fasal 15 yang melarang raja yang memerintah menyerahkan atau membuat sebarang perjanjian menyerahkan negeri atau sesuatu bahagian daripada negeri Johor kepada sebarang kerajaan, kuasa Eropah atau bangsa lain. Jika itu yang berlaku maka raja berkenaan disifatkan telah melakukan dosa dan rakyat tidak diwajibkan lagi memberikan taat setia kepada baginda.

Undang-undang itu juga menyatakan bahawa Majlis Mesyuarat Menteri dan Majlis Mesyuarat Negeri perlu ditubuhkan. Anggota Majlis Mesyuarat Menteri dilantik daripada orang Melayu dan bertanggungjawab menasihati Sultan dalam pentadbiran. Ahli Majlis Mesyuarat Negeri juga terdiri daripada rakyat Johor yang berperanan menggubal undang-undang.
 


ANTARA pemandangan Bandaraya Johor Bahru yang pesat membangun. - Foto Khairull Azry Bidin

Undang-undang wujud keharmonian

Jelas bahawa Sultan Abu Bakar berjaya membawa banyak perubahan dalam pentadbiran dan pembangunan Johor sehingga British tidak dapat menggugat kemerdekaan Johor. Malah, undang-undang yang diperkenalkan di Johor itu berjaya mewujudkan keharmonian di negeri itu.

Sepanjang pemerintahan baginda tidak berlaku kekacauan dalam kalangan orang-orang Cina di Johor berbanding apa yang berlaku di negeri Melayu yang lain, khususnya Perak dan Selangor.

Kesimpulannya, sejarah tanah air mencatatkan bahawa pada separuh kedua abad ke-19, Sultan Abu Bakar berjaya meletakkan Johor negeri yang moden dan stabil berbanding negeri Melayu Pantai Barat seperti Selangor dan Perak. Mengikut Rupert Emerson, kemerdekaan Johor pada asasnya adalah hasil daripada kebijaksanaan dan kematangan politik Sultan Abu Bakar. Baginda dapat menyesuaikan diri dengan keadaan sosiopolitik yang berubah ketika itu.

Selepas baginda mangkat, pengganti daripada keturunan baginda sehinggalah kepada Sultan Ibrahim yang memerintah Johor hari ini meneruskan kecemerlangan pemerintahan di negeri yang pesat membangun itu.

Penulis ialah Penganalisis Media di Bahagian Penerbitan Dasar Negara, Jabatan Penerangan Malaysia
-sumber, Berita Harian,Ahad, 29 Mac 2015