Siaran Langsung Istiadat Kemahkotaan DYMM Sultan Ibrahim Sultan Johor Pada 23 Mac 2015

Selasa, 10 Mac 2015

Tulisan Jawi, Lampu LED Hiasi Persiapan Sambutan Istiadat Kemahkotaan Sultan Johor

 Penggunaan tulisan jawi dalam gegantung dan papan iklan di bandar raya ini bersempena dengan Istiadat Kemahkotaan Sultan Johor, Sultan Ibrahim Sultan Iskandar merupakan antara elemen tradisional yang mahu diangkat semula pada acara Kemahkotaan Sultan Johor dalam tinjauan fotoBernama di jalan utama di sini hari ini.  --fotoBERNAMA (2015) HAKCIPTA TERPELIHARA



JOHOR BAHARU, 9 Mac (Bernama) -- Penggunaan tulisan jawi dalam gegantung dan papan iklan di bandar raya ini bersempena dengan Istiadat Kemahkotaan Sultan Johor, Sultan Ibrahim Sultan Iskandar merupakan antara elemen tradisional yang mahu diangkat semula pada acara ini.

Tinjauan Bernama baru-baru ini turut mendapati penggunaan lampu diod pemancar cahaya (LED) menjadi elemen menarik yang digunakan dalam hiasan sempena istiadat yang akan berlangsung dua minggu lagi.

Pihak berkuasa tempatan (PBT) kini giat melakukan persiapan bagi memastikan istiadat kemahkotaan Sultan Johor kelima dalam sejarah Johor Moden berlangsung dengan meriah dan lancar.

Majlis Bandaraya Johor Baharu (MBJB) contohnya, memberi fokus kepada aspek kebersihan dan pencahayaan di sekitar bandar raya ini.

Datuk Bandar Johor Baharu Datuk Abdul Rahman Mohamed Dewam berkata aspek kebersihan akan diberikan penekanan terutamanya di kawasan pusat bandar raya, laluan perarakan dan lokasi berlangsungnya istiadat.

"Pada masa yang sama, aspek pencahayaan turut diberikan perhatian apabila kebanyakan kawasan dalam bandar raya ini sudah dipasang dengan lampu hiasan LED bagi memeriahkan sambutan majlis ini," kata beliau

"Selain itu, skrin gergasi angkasa yang dipasang di hadapan pejabat MBJB akan menayangkan mesej dan grafik berkaitan istiadat ini," katanya kepada Bernama ketika dihubungi di sini.

Sementara itu, pihak Majlis Perbandaran Johor Baharu Tengah (MPJBT) pula berkata fokus utama akan diberikan dalam memastikan jalan utama yang terbabit dalam perarakan berkeadaan baik.

Ketua Unit Korporat dan Perhubungan Awam MPJBT Salwa Abdul Rashid berkata lampu hiasan pada bangunan MPJBT dan jejantas di sekitar bangunan itu turut diberi perhatian selain penaiktarafan landskap.

"Pihak MPJBT akan memastikan jalan raya yang akan terbabit dengan acara perarakan iaitu di sekitar Gelang Patah berada dalam keadaan baik.

"Selain itu, orang ramai juga dapat melihat bangunan MPJBT dan jejantas di hadapannya sudah dihias dengan lampu LED sebagai persediaan untuk menyambut istiadat ini," katanya lagi.

Tinjauan di pusat bandar raya mendapati suasana sambutan menjelang istiadat tersebut sudah mula dirasai di sekitar bandar raya ini terutama di pusat bandar raya.

Jalan raya utama di bandar raya ini sudah mula dihiasai dengan gegantung dan papan iklan yang memaklumkan tarikh berlangsungnya acara berkenaan dan kebanyakannya memaparkan mesej "Daulat Tuanku".

Turut kelihatan ialah bendera negeri Johor yang banyak dipasang di pembahagi jalan di jalan raya utama di pusat bandar raya.

Selain itu, kebanyakan jejantas juga sudah turut dihiasi dengan papan iklan yang memaklumkan maklumat acara kemahkotaan serta ada antaranya dihias dengan lampu LED.


- Sumber BERNAMA, 09 Mac 2015