Siaran Langsung Istiadat Kemahkotaan DYMM Sultan Ibrahim Sultan Johor Pada 23 Mac 2015

Jumaat, 20 Mac 2015

(Video) - Koleksi Setem Khas Peringati Kemahkotaan Sultan Johor



KUALA LUMPUR, 20 Mac (Bernama) -- Pos Malaysia Bhd akan mengeluarkan koleksi setem dan produk filateli peringatan khas bersempena Kemahkotaan Sultan Johor, Sultan Ibrahim Sultan Iskandar pada 23 Mac ini.

Pemangku Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan Pos Malaysia, Azlan Shahrim berkata koleksi berkenaan mula dijual di pejabat pos seluruh negara, Selasa ini.

"Pos Malaysia berbesar hati kerana dapat mengabadikan istiadat itu dengan mengeluarkan koleksi khas ini. Kemahkotaan ini sememangnya lama dinantikan sejak istiadat terakhir dalam 1960," kata beliau dalam satu kenyataan hari ini.

Keluaran khas ini memaparkan potret baginda dalam setem yang bernilai 60 sen, 80 sen dan RM1 setiap satu di atas lembaran dengan 14 keping setem setiap satu, katanya.

Beliau berkata Sampul Surat Hari Pertama juga boleh didapati pada hari pertama keluaran setem dengan harga 50 sen setiap satu, dan RM2.90 dengan set satu setem, RM5.50 dengan satu set lembaran mini manakala folder pula berharga RM6 setiap satu dan RM67.40 untuk satu set lengkap.

Setem itu direka oleh Dekan Fakulti Seni Industri dan Teknologi Reka Bentuk, Universiti Selangor, Prof Datuk Raja Zahabuddin Raja Yaacob.

-- BERNAMA, 20 Mac 2015