Siaran Langsung Istiadat Kemahkotaan DYMM Sultan Ibrahim Sultan Johor Pada 23 Mac 2015

Ahad, 22 Mac 2015

Waris Dinasti Temenggong

Oleh Luqman Haziq Abdullah |  22 Mac 2015

SUASANA bandar raya Johor Bahru kini diseri dan diceriakan dengan poster "Daulat Tuanku" dan bendera negeri serta disimbahi dengan lampu berwarna-warni pada waktu malam, memeriahkan lagi sambutan Istiadat Kemahkotaan Sultan Johor yang akan berlangsung esok.

Mungkin ramai yang ingin mengenali secara dekat salasilah keturunan Sultan Ibrahim Sultan Iskandar. Baginda yang diputerakan pada 22 November 1958 merupakan waris kelima kerajaan Johor moden daripada Dinasti Temenggong.

Sebenarnya sejarah awal Johor bermula pada tahun 1528 apabila Sultan Alauddin Riayat Shah daripada keturunan Kesultanan Melaka membuka negeri ini dan bertapak di Johor Lama. Kesultanan itu memerintah Johor hingga tahun 1699, iaitu tarikh kemangkatan Sultan Mahmood yang dikatakan dibunuh oleh Megat Seri Rama (Laksamana Bintan).

Sultan Mahmood tidak mempunyai waris yang sah dan oleh itu pengurusan dan pentadbiran Johor berpindah kepada Dinasti Bendahara, iaitu menteri-menteri yang membantu Dinasti Kesultanan Melaka. Oleh sebab peperangan dan bagi mengekalkan kuasa perdagangan, ibu negeri Johor telah berpindah sebanyak 20 kali di sepanjang Sungai Johor, termasuk pada akhirnya di Kepulauan Riau.

Dalam tahun 1769 Sultan Mahmood III diangkat sebagai Sultan Johor Riau. Baginda melantik Temenggong Abdul Hamid sebagai Temenggong Johor yang turut diiktiraf oleh penjajah Inggeris dan turut mengiktiraf Temenggong Abdul Rahman Ibni Temenggong Abdul Hamid sebagai Temenggong Johor-Singapura.

Pelantikan itu merupakan titik permulaan Dinasti Temenggong memerintah Johor. Penjajah Inggeris seterusnya melantik Sultan Husain, anakanda Sultan Mahmood sebagai Sultan Johor-Singapura pada 1819.

Anakanda Temenggong Abdul Rahman, iaitu Temenggong Daeng Ibrahim dilantik Temenggong Johor selepas kemangkatan ayahanda baginda pada 1825. Pelantikan baginda disahkan 14 tahun selepas kemangkatan ayahanda disebabkan keengganan Inggeris dan keraguan Sultan Husain. Pada 10 Mac 1855 Sultan Johor, iaitu Sultan Ali Iskandar Shah telah menyerahkan keseluruhan kerajaan dan negeri Johor melainkan jajahan Kesang kepada Temenggong Ibrahim menerusi satu perjanjian, dan kemangkatan Sultan Ali pada 20 Jun 1877 menandakan tamat pemerintahan Dinasti Bendahara.

Setelah memiliki ketuanan Johor, Temenggong Daeng Ibrahim membuka Bandar Iskandar Puteri di Tanjong Puteri pada tahun 1855. Bermula dari tarikh itu, zahirlah pentadbiran Kesultanan Johor Moden diasaskan oleh Temenggong Daeng Ibrahim sehingga kemangkatan baginda pada 31 Januari 1862.

Hasrat Inggeris ingin menjadikan Johor sebagai kawasan pedalaman yang banyak membantu pertumbuhan Singapura sebagai pusat perdagangan antarabangsa telah membolehkan Temenggong Ibrahim menjadikan Johor sebagai pusat pengeluaran lada hitam dan gambir melalui Sistem Kangchu Cina dan Sistem Buruh Kontrak Jawa.

Kepesatan kemajuan negeri Johor yang dirintis oleh baginda terus diperkasa dan diperkukuhkan oleh anakanda baginda, Sultan Abu Bakar yang memerintah dari tahun 1862 hingga 1895 termasuk menukar nama bandar Iskandar Puteri kepada Johor Bahru dan turut mereka semula bendera negeri dan bendera peribadi pada 1871.

Menerusi Perjanjian Setia pada 1885, baginda yang memakai gelaran "Maharaja" dan waris-waris baginda diiktiraf oleh Inggeris dan memakai gelaran Sultan Johor. Berikutan perjanjian tersebut Sultan Abu Bakar turut menubuhkan Askar Timbalan Setia Negeri Johor. Bandar Johor Bahru dan negeri Johor terus dimajukan dan Sultan Abu Bakar dan turut melantik Datuk Jaafar Muhammad sebagai Menteri Besar Johor pertama. Legasi Kesultanan Johor diteruskan oleh Sultan Ibrahim pada 7 September 1895 berikutan kemangkatan ayahanda baginda, Sultan Abu Bakar. Baginda yang diputerakan pada 17 September 1873 memang telah diasuh dan dipimpin sejak kecil sebagai bakal raja termasuk didedahkan dengan dunia luar dengan melawat beberapa negara seperti Eropah, Jepun, China dan Amerika Syarikat.

Semasa pemerintah baginda, jalan kereta api merentasi negeri Johor dapat disiapkan pada 1908 dan Tambak Johor yang menghubungkan Johor Bahru-Singapura berjaya disiap pada tahun 1924. Selain itu, baginda amat mengambil berat hal pendidikan dengan menitahkan pelajaran wajib diberikan kepada semua kanak-kanak menerusi penggubalan Enakmen Pelajaran Wajib 1902.

Baginda yang mangkat pada 8 Mei 1959 kemudian digantikan oleh anakanda baginda, Sultan Ismail yang diputerakan pada 28 Oktober 1894 dan baginda sentiasa memberi perhatian kepada pembangunan negeri, termasuk mengilhamkan Penubuhan Perbadanan Pembangunan Ekonomi Negeri Johor (PKENJ), Lembaga Kemajuan Johor Tenggara (Kejora), Projek Johor Barat, Lembaga Kemajuan Tanah Persekutuan (Felda), Lembaga Penyatuan dan Pemulihan Tanah Persekutuan (Felcra) dan Pelabuhan Pasir Gudang.

Selepas kemangkatan Sultan Ismail pada 10 Mei 1981, Kesultanan Johor diteruskan oleh Sultan Iskandar yang diputerakan pada 8 April 1932. Di bawah naungan baginda, Johor terus maju serta pelbagai pembangunan prasarana, perumahan, ekonomi, pelajaran dilaksanakan termasuk agama Islam berkembang dengan pesat. Malah, koridor ekonomi yang pesat membangun di negeri ini, Iskandar Malaysia dan pusat pentadbiran baharu kerajaan negeri dikenali sebagai Kota Iskandar di Nusajaya telah dirasmikan oleh baginda pada 16 April 2009. Kepesatan pembangunan negeri Johor kemu­dian diteruskan oleh anakanda baginda, Sultan Ibrahim yang dimasyhurkan pada 23 Januari 2010.

Nyata di bawah naungan baginda, Johor semakin pesat membangun, sekali gus meningkatkan taraf hidup dan esejahteraan rakyat jelata. Baginda amat terkenal sebagai Sultan yang berjiwa rakyat dan telah mengilhamkan program Kembara Mahkota Johor (KMJ) sejak 2001 dengan menjelajah ke seluruh pelosok negeri untuk mendekati dan menyelami kehidupan rakyat jelata.

Daulat Tuanku.