Siaran Langsung Istiadat Kemahkotaan DYMM Sultan Ibrahim Sultan Johor Pada 23 Mac 2015

Rabu, 1 April 2015

Kenali Keunikan Kesultanan Johor Menerusi Pameran

Oleh Lucia Terey Anak John

JOHOR BAHARU (Bernama) -- Istiadat Kemahkotaan Sultan Johor kelima, Sultan Ibrahim Almarhum Sultan Iskandar yang berlangsung 23 Mac, bukan sahaja memberi peluang kepada orang ramai mempelajari istiadat diraja itu, malah membuka mata tentang keunikan sejarah dan khazanah yang dimiliki negeri ini.

Manakan tidak, kali terakhir ia diadakan ialah pada 10 Feb 1960, iaitu 55 tahun lepas. Justeru itu, ia diibaratkan sebagai platform kepada rakyat untuk bersatu dan berkumpul bagi meraikan upacara itu dengan penuh gilang gemilang.

Satu daripada suasana yang mungkin dapat menterjemahkan sifat gilang gemilang itu ialah ketika ribuan pengunjung, tidak kira dari dalam atau luar negara sanggup berbaris dan menunggu di tepi jalan semata-mata untuk melihat Tuanku tiba di Istana Besar pada hari berkenaan.

Perkara itu sudah cukup membuktikan bahawa rakyat juga tidak mahu terlepas menjadi sebahagian daripada peristiwa bersejarah itu.

Sehubungan itu, sebagai meneruskan lagi niat untuk rakyat mengetahui tentang kemahkotaan itu, Arkib Negara Malaysia Cawangan Johor telah mengaturkan satu pameran mengenai kemahkotaan itu mulai 28 Mac hingga 25 April di Pusat Konvensyen Antarabangsa Persada Johor (Persada Johor). 
 
MAHKOTA JAUHAR, JUNJUNGAN NEGERI

Pameran yang bertemakan 'Mahkota Jauhar, Junjungan Negeri' itu bermatlamat untuk mengajak masyarakat menghargai dan menyelami sebaiknya istiadat kemahkotaan di Johor.

Pengarah Arkib Negara Malaysia negeri, Gowri P.S Thangaya ketika ditemui di pejabatnya, baru-baru ini berkata ramai yang tidak tahu bahawa kemahkotaan Sultan ini dibawa oleh Sultan Johor pertama dahulu iaitu Sultan Abu Bakar Sultan Ibrahim.

"Atas sebab itu, kita mengadakan pameran ini dalam skala besar supaya dapat memberi pemahaman lebih lanjut terutama kepada pelajar, mahasiswa dan golongan pengkaji sejarah," kata beliau.

Sebanyak enam segmen bakal dipersembahkan pada pameran itu termasuk susur galur keempat-empat Sultan Johor era-moden, usaha-usaha yang dilakukan Sultan Ibrahim I (anak Sultan Abu Bakar) ke arah memangkinkan pembangunan Johor serta kisah Sultan Ibrahim Almarhum Sultan Iskandar (Sultan sekarang) sebagai seorang pemimpin yang berjiwa rakyat.
 

JOHOR BAHARU, 31 Mac -- Pengarah Arkib Negara Malaysia negeri Gowri P.S Thangaya menunjukkan susur galur keempat-empat Sultan Johor era-moden yang akan dipamerkan pada pameran sempena Kemahkotaan Sultan Johor ketika ditemui Bernama di pejabatnya baru-baru ini.
Pameran berlangsung mulai 28 Mac hingga 25 April di Pusat Konvensyen Antarabangsa Persada Johor (Persada Johor).

--fotoBERNAMA(2015) HAKCIPTA TERPELIHARA

KENALI SUSUR GALUR SULTAN JOHOR

Dengan memahami susur galur keempat-empat Sultan ini, Gowri berkata rakyat akan lebih memahami siapa pewaris terdekat mereka dan bagaimana corak pentadbiran yang diamalkan oleh sultan terdahulu telah membawa pengaruh besar Kesultanan Johor ke negeri-negeri Melayu lain.

"Selain itu, ia menyentuh hubungan baik kerajaan British dengan kerajaan negeri melalui perjanjian-perjanjian yang dilakukan oleh Sultan Ibrahim I sehinggalah Johor muncul sebagai negeri Melayu yang termaju pada zaman itu," kata Gowri lagi.

Pada segmen lain pula, akan diketengahkan pula Sultan Ibrahim (sekarang) sebagai seorang pemimpin yang suka meluangkan masa bersama rakyat dan Permaisuri Johor Raja Zarith Sofiah Almarhum Sultan Idris yang mempunyai bakat melukis tersendiri.

Atas dasar ingin mewujudkan perasaan sayang rakyat kepada baginda berdua, koleksi gambar Sultan Ibrahim sewaktu mengadakan program dengan rakyat di setiap daerah dan koleksi lukisan yang pernah dihasilkan Raja Zarith Sofiah sendiri akan turut dipamerkan.

Satu kelainan pada pameran ini, adalah sesi pameran darjah-darjah kebesaran negeri dan peralatan seperti tombak, pedang, cokmar dan mahkota buat tontonan umum pada pameran itu.

 
JOHOR BAHARU, 31 Mac -- Alat Istiadat kebesaran Negeri Johor yang dikenali sebagai 'Keris' akan dibuat dalam bentuk replika sebenar untuk dipamerkan pada Pameran Sempena Kemahkotaan Sultan Johor bertempat di Pusat Konvesyen Antarabangsa Persada Johor ketika ditemui Bernama di Arkib Negeri Johor di Wisma Persekutuan, Jalan Ayer Molek baru-baru ini.
--fotoBERNAMA(2015) HAKCIPTA TERPELIHARA

JOHOR BAHARU, 31 Mac -- Alat Istiadat kebesaran Negeri Johor yang dikenali 'Cogan Alam' akan dibuat dalam bentuk replika sebenar untuk dipamerkan pada Pameran Sempena Kemahkotaan Sultan Johor bertempat di Pusat Konvesyen Antarabangsa Persada Johor ketika ditemui Bernama di Arkib Negeri Johor di Wisma Persekutuan, Jalan Ayer Molek baru-baru ini.
--fotoBERNAMA(2015) HAKCIPTA TERPELIHARA

JOHOR BAHARU, 31 Mac -- Alat Istiadat kebesaran Negeri Johor yang dikenali sebagai 'Cokmar' akan dibuat dalam bentuk replika sebenar untuk dipamerkan pada pameran sempena Kemahkotaan Sultan Johor bertempat di Pusat Konvesyen Antarabangsa Persada Johor (Persada Johor) ketika ditemui Bernama di Arkib Negeri Johor di Wisma Persekutuan, Jalan Ayer Molek baru-baru ini.--fotoBERNAMA(2015) HAKCIPTA TERPELIHARA

GUNA TEKNOLOGI BARU UNTUK MAKLUMAT BAHAN PAMERAN
Atas faktor keselamatan, bagaimanapun replika peralatan ini akan dipamerkan mengikut saiz dan bentuk yang sama akan digunakan bagi tontonan umum, kata Gowri.

Bagi memastikan penyaluran ilmu yang berterusan, arkib bakal mengguna kod bar di setiap bahan pameran agar mudah bagi pengunjung mengetahui lebih lanjut mengenai bahan pameran melalui telefon mudah alih mereka.

"Apa yang mereka perlu lakukan ialah hanya mengimbas kod bar berkenaan untuk membolehkan maklumat disimpan dalam telefon bimbit.

"Selepas itu, mereka boleh membacanya di mana-mana sahaja, tidak seperti apabila kita berkunjung ke tapak pameran," katanya yang optimis inisitiaf itu dapat memberi input terbaik khususnya golongan muda.