Siaran Langsung Istiadat Kemahkotaan DYMM Sultan Ibrahim Sultan Johor Pada 23 Mac 2015

Selasa, 3 Februari 2015

Istiadat-Istiadat Sempena Kemahkotaan DYMM Sultan Johor

Menurut Dato' Abdul Rahim bin Ramli, Yang Dipertua Jumaah Majlis Diraja Johor dalam kenyataan media bertarikh 05 Januari 2015, sekurang-kurangnya terdapat 9 istiadat yang berlainan tetapi berkaitan akan diadakan sempena Kemahkotaan :

1. Istiadat Meletak Kerja

Istiadat Meletak Kerja diadakan pada hari Isnin, 16 Mac 2015 bersamaan 25 Jamadilawal 1436H jam 8.30 pagi bertempat di Tugu Peringatan Istana Besar Johor Bahru.

Istiadat ini dilakukan dengan menaikkan bendera Istiadat di perkarangan Istana Besar, diiringi dengan doa dan 7 Bedil Selamat.

2. Majlis Tahlil & Doa Kesyukuran

Majlis ini diadakan pada hari Jumaat, 20 Mac 2015 bersamaan 29 Jamadilawal 1436H jam 6.00 petang, bertempat di Masjid Sultan Abu Bakar, Johor Bahru. Majlis ini juga diadakan di masjid-masjid jamek daerah. Lain-lain acara menyusul termasuk khutbah Jumaat, Forum agama, Wakaf Al-Quran serta perasmian 2 buah masjid.

3. Istiadat Siram Tabal

Istiadat ini diadakan pada hari Sabtu, 21 Mac 2015 bersamaan 30 Jamadilawal 1436H jam 3.00 petang bertempat di Perkarangan Bukit Bintang, Istana Besar, Johor Bahru.

Istiadat ini dilakukan di Panca Persada di Bukit Bintang, Istana Besar, Johor Bahru. Air Siram diambil dari ulu sungai utama di Johor, diikuti bacaan doa dan Bedil Selamat 21 das.

4. Istiadat Kemahkotaan

Istiadat Kemahkotaan diadakan pada hari Isnin, 23 Mac 2015 bersamaan 2 Jamadilakhir 1436H jam 8.00 pagi di Bilik Singgahsana Istana Besar Johor Bahru.

Antara dif jemputan sempena istiadat ini iaitu DYMM Sultan Brunei, DYMM Raja-raja Melayu, TYT Yang Dipertua Negeri, Kerabat Damping Johor, Perdana Menteri Malaysia, Perdana Menteri Singapura dan pembesar negeri.

5. Majlis Santapan Diraja

Majlis ini diadakan pada hari Isnin, 23 Mac 2015 bersamaan 2 Jamadilakhir 1436H jam 7.30 petang di Dewan Santap Istana Besar Johor Bahru.

Antara dif jemputan sempena majlis ini iaitu DYMM SPD Yang Dipertuan Agong, DYMM Sultan Brunei, DYMM Raja-raja Melayu, TYT Yang Dipertua Negeri, Kerabat Damping Johor, Perdana Menteri Malaysia,Perdana Menteri Singapura dan pembesar negeri.

6. Istiadat Kurniaan Darjah dan Pingat

Istiadat ini diadakan pada hari Isnin, 30 Mac 2015 bersamaan 9 Jamadilakhir 1436H jam 8.00 pagi di Bilik Singgahsana Istana Besar Johor Bahru.

Dalam istiadat ini, DYMM akan menzahirkan Darjah Sultan Ibrahim Yang Amat Disanjungi, dengan seru Tawakkal Kepada Allah. Darjah Kerabat dan Darjah Mahkota dikekalkan.

7. Majlis Jamuan Negeri

Majlis ini diadakan pada hari Selasa, 31 Mac 2015 bersamaan 10 Jamadilakhir 1436H jam 7.30 malam bertempat di PERSADA Johor Bahru.

Majlis ini akan dihadiri oleh Menteri Besar Johor serta pembesar negeri serta dif jemputan seramai 1200 orang.

8. Istiadat Pertukaran Panji-panji Askar Timbalan Setia Negeri

Istiadat ini akan diadakan pada hari Rabu 8 April 2015 bersamaan 18 Jamadilakhir 1436H.

9. Keberangkatan ke Daerah-daerah pada tarikh-tarikh yang akan ditetapkan.


Jadual istiadat dan majlis berkaitan Istiadat Kemahkotaan serta tarikh keberangkatan DYMM Sultan Ibrahim ke daerah-daerah sempena Istiadat Kemahkotaan boleh dirujuk di sini.