Siaran Langsung Istiadat Kemahkotaan DYMM Sultan Ibrahim Sultan Johor Pada 23 Mac 2015

Ahad, 29 Mac 2015

Pameran Mahkota Jauhar Junjungan Negeri Tampil Pelbagai Bahan Menarik

JOHOR BAHARU, 28 Mac (Bernama) -- Dokumen Undang-undang Tubuh Kerajaan Kerajaan Johor 1895 adalah antara bahan bersejarah negeri Johor yang dipamerkan pada Pameran Mahkota Jauhar Junjungan Negeri di Pusat Konvensyen Antarabangsa Persada, di sini.

Pengisytiharan undang-undang itu adalah perlembagaan bertulis pertama bagi negeri Johor dan Tanah Melayu suatu ketika dulu.

Selain dokumen bersejarah, pameran itu turut menampilkan 168 gambar yang menampilkan sejarah negeri Johor, sejarah Kesultanan Johor, replika alat istiadat kebesaran dan darjah kebesaran serta pakaian.
 
 Pameran tersebut sehingga 25 April ini diadakan sempena sambutan Kemahkotaan Sultan Johor dan ia dianjurkan oleh kerajaan negeri dengan kerjasama Arkib Negara Malaysia cawangan Johor.

Sultan Johor, Sultan Ibrahim Sultan Iskandar berkenan merasmikan pameran itu di sini hari ini.

Pengerusi Jawatankuasa Pendidikan, Penerangan, Pembangunan Usahawan Dan Koperasi Negeri Johor, Md Jais Sarday berkata selepas pameran itu, bahan bersejarah itu akan dietakkan di Bangunan Sultan Ibrahim, di sini bagi membolehkan orang ramai menyaksikannya sepanjang masa.

"Pameran yang menampilkan sejarah negeri dan Kesultanan Johor boleh menjadi daya tarikan kepada pelancong dalam dan luar negara untuk melawat negeri ini pada masa hadapan," katanya pada majlis perasmian pameran itu.

Istiadat kemahkotaan Sultan Ibrahim sebagai Sultan Johor Kelima dalam sejarah Johor moden berlangsung pada 23 Mac lepas di Istana Besar di sini.

-- BERNAMA, 28 Mac 2015