Siaran Langsung Istiadat Kemahkotaan DYMM Sultan Ibrahim Sultan Johor Pada 23 Mac 2015

Sabtu, 21 Mac 2015

Sultan Ibrahim, Raja Zarith Sofiah Jalani Istiadat Siram Tabal Sempena Kemahkotaan


JOHOR BAHARU, 21 Mac (Bernama) -- Sultan Johor Sultan Ibrahim Sultan Iskandar dan Raja Zarith Sofiah Sultan Idris Shah hari ini menjalani Istiadat Siram Tabal di perkarangan Bukit Bintang, Istana Besar, di sini.

Baginda berdua berangkat ke istiadat itu pada 3.30 petang sebelum naik ke Panca Persada tempat bersiram diadakan.

Sultan Ibrahim yang memakai baju Melayu teluk belanga berwarna putih dan Raja Zarith Sofiah yang memakai baju kurung teluk belanga berwarna yang sama, bersemayam di peterana di Panca Persada setinggi sembilan tingkat.

Istiadat dimulakan dengan doa oleh Mufti Johor Datuk Tahrir Samsudin dan kemudiannya disusuli istiadat menepung tawar ke atas Sultan Ibrahim dan Raja Zarith Sofiah oleh bonda Sultan Ibrahim, Enche' Besar Hajah Khalsom Abdullah.

Enche' Besar Hajah Khalsom diiringi kekanda dan adinda Sultan Ibrahim, Tunku Puteri Johor Tunku Kamariah Sultan Iskandar dan Tunku Besar Zabedah Sultan Iskandar.

Selesai Istiadat Tepung Tawar, Istiadat Siram Tabal terhadap Sultan Ibrahim dan Raja Zarith Sofiah kemudian disempurnakan Tunku Kamariah dengan menyiram air yang diambil dari 10 sungai di 10 daerah di negeri ini menggunakan batil (gayung).

Ketika istiadat berlangsung, kelihatan 19 wanita yang memegang ceper (dulang) dan batil, sembilan wanita pemegang kain tabir dan empat kerabat diraja terdekat yang membantu menjalankan istiadat itu.

Istiadat itu selesai dengan bacaan doa oleh Tahrir.

Sultan Ibrahim dan Raja Zarith Sofiah kemudian berangkat meninggalkan majlis istiadat pada kira-kira 4.00 petang.

Turut berangkat menyaksikan istiadat itu, Tunku Mahkota Johor Tunku Ismail Sultan Ibrahim dan Che' Puan Khaleeda Bustamam, para anakanda dan kerabat diraja lain.

Turut hadir, Yang Dipertua Jumaah Majlis Diraja Johor Datuk Abdul Rahim Ramli, Menteri Besar Johor Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin dan isteri Datin Seri Rosni Omar, barisan exco kerajaan negeri dan pegawai-pegawai kerajaan.

Istiadat Siram Tabal atau biasanya disebut istiadat raja bersiram dijalankan mengikut tradisi dan menjadi simbolik pembersihan diri serta jiwa sebelum Sultan memulakan tugas.

Istiadat Kemahkotaan Sultan Ibrahim sebagai Sultan Johor kelima dalam sejarah Johor Moden akan berlangsung Isnin ini di Istana Besar, di sini.

-- BERNAMA, 21 Mac 2015

Tiada ulasan:

Catat Ulasan