Siaran Langsung Istiadat Kemahkotaan DYMM Sultan Ibrahim Sultan Johor Pada 23 Mac 2015

Ahad, 15 Mac 2015

Polis Johor Siap Sedia Aspek Keselamatan, Lalu Lintas Istiadat Kemahkotaan

JOHOR BAHARU, 15 Mac (Bernama) -- Polis Kontinjen Johor sudah bersiap sedia dengan aspek keselamatan dan lalu lintas di bandar raya ini bagi memastikan Istiadat Kemahkotaan Sultan Johor Sultan Ibrahim Almarhum Sultan Iskandar, pada 23 Mac ini berjalan lancar.

Ketua Polis Johor Datuk Mohd Mokhtar Mohd Shariff berkata persiapan sudah dilakukan sewajarnya sejak dua tahun lepas menerusi jawatankuasa khas yang ditubuhkan bersempena istiadat berkenaan.

"Kami sudah merangka strategi bagi memastikan keselamatan dan lalu lintas berjalan lancar dalam beberapa mesyuarat jawatankuasa yang diadakan termasuk yang terakhir pada hari ini," katanya kepada pemberita pada taklimat Ops Kemahkotaan Johor, di Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Johor, di sini hari ini.

Mohd Mokhtar berkata pihaknya menugaskan anggota yang secukupnya untuk istiadat kemahkotaan itu termasuk mendapatkan bantuan keanggotaan daripada kontinjen negeri lain.

Beliau berkata sehubungan itu, pihaknya mengharapkan orang ramai memberi kerjasama dan mematuhi arahan lalu lintas sepanjang raptai istiadat yang akan bermula esok hingga 19 Mac dan pada hari istiadat, 23 Mac.

"Beberapa laluan di bandar raya ini akan ditutup mulai pukul 7 pagi hingga 12 tengah hari mulai esok hingga 19 Mac bagi melakukan raptai manakala pukul 6 pagi hingga 12 tengah hari, pada hari istiadat.

"Polis memerlukan toleransi orang ramai ketika raptai diadakan dan pada hari istiadat tersebut terutamanya ketika perarakan diraja dari Istana Besar ke Istana Bukit Serene, berlangsung," katanya.

Menurut Mohd Mokhtar orang ramai boleh menghubungi Pusat Kawalan IPK Johor di talian 07-2212999 bagi mendapatkan sebarang maklumat berkaitan.

-- BERNAMA, 15 Mac 2015

Sabtu, 14 Mac 2015

Gambar Persiapan Istiadat Kemahkotaan Sultan Johor - Berita Harian


SULTAN Ibrahim Iskandar berkenan melihat raptai istiadat kemahkotaan baginda yang akan diadakan pada 23 Mac di Istana Besar, Johor Bahru. - Foto Khairull Azry Bidin

SULTAN Ibrahim Iskandar berkenan melihat raptai istiadat kemahkotaan baginda yang akan diadakan pada 23 Mac di Bilik Singgahsana, Istana Besar, Johor Bahru. - Foto Khairull Azry Bidin

SULTAN Ibrahim Iskandar merakam gambar ketika meninjau raptai sempena istiadat kemahkotaan baginda sebagai Sultan Johor kelima pada 23 Mac ini di Bilik Singgahsana, Istana Besar, Johor Bahru. - Foto NSTP

SULTAN Ibrahim Iskandar berkenan mencemar duli meninjau persiapan Pusat Media di Dewan Jubli Intan sempena istiadat kemahkotaan baginda sebagai Sultan Johor. - Foto Zain Ahmed

DATUK Jack MK Lee melakukan sentuhan terakhir untuk pakaian rasmi sempena Istiadat Kemahkotaan Sultan Johor, Sultan Ibrahim Iskandar. - Foto Salhani Ibrahim

SULTAN Ibrahim Iskandar berkenan mencuba pakaian rasmi sempena Istiadat Kemahkotaan Sultan Johor. - Foto NSTP

KERJA-kerja membersih dan mengecat Gerbang Mahkota di laluan masuk utama ke Istana Bukit Serene sempena sambutan Istiadat Kemahkotaan Sultan Johor. - Foto Hairul Anuar Abd Rahim

KERJA pemasangan bendera dan banting di sepanjang Jalan Skudai sempena sambutan Istiadat Kemahkotaan Sultan Johor. - Foto Hairul Anuar Abd Rahim

- sumber Berita Harian

Swasta Disaran Beri Pelepasan Cuti Sempena Istiadat Kemahkotaan Sultan Johor

JOHOR BAHARU, 13 Mac (Bernama) -- Sektor swasta di negeri ini disaran memberi pelepasan cuti umum kepada pekerja masing-masing sempena Istiadat Kemahkotaan Sultan Johor Sultan Ibrahim Almarhum Sultan Iskandar, 23 Mac ini.

Yang Dipertua Jumaah Majlis Diraja Johor Datuk Abdul Rahim Ramli berkata cuti berkenaan dapat memberi peluang kepada rakyat untuk bersama-sama meraikan istiadat berkenaan selain menunjukkan taat setia terhadap Sultan Johor.

"Kali terakhir Istiadat Kemahkotaan ini ialah bagi Almarhum Sultan Ismail pada tahun 1960. Oleh itu, pelepasan cuti umum membolehkan rakyat menyaksikan istiadat dan pelbagai acara perayaan kemahkotaan pada hari berkenaan," katanya dalam taklimat Istiadat Kemahkotaan berkenaan, di sini, Jumaat.

Kerajaan negeri Johor sebelum ini mengumumkan 23 Mac ini sebagai hari kelepasan am negeri ini bagi memberi peluang kepada rakyat meraikan istiadat itu yang akan berlangsung di Istana Besar, di sini.

Selain istiadat, perarakan diraja sejauh tujuh kilometer dan pelbagai persembahan kebudayaan turut diatur pada hari berkenaan yang dijangkakan disaksikan lebih 40,000 rakyat Johor.

Sehubungan itu, Abdul Rahim berharap majikan sektor swasta mengikuti langkah kerajaan negeri dengan memberi pelepasan cuti dan tidak terlalu mementingkan keuntungan perniagaan semata-mata.

Sementara itu, beliau berkata Che' Puan Khaleeda Bustamam akan menggunakan gelaran Yang Mulia Che' Puan Khaleeda Bustamam, mulai 15 Mac ini.

Che' Puan Khaleeda Bustamam mendirikan rumahtangga dengan Tunku Mahkota Johor Tunku Ismail Sultan Ibrahim pada 24 Okt lepas.

Terdahulu pada taklimat berkenaan, Abdul Rahim menerangkan kepada petugas media tempatan berhubung pelbagai perkara termasuk sejarah Kesultanan Sultan Johor, aturcara istiadat dan acara-acara perayaan kemahkotaan.

-- BERNAMA, 13 Mac 2015

Khamis, 12 Mac 2015

(Video) - Raptai Istiadat Kemahkotaan Sultan Johor


Raptai Istiadat Kemahkotaan Sultan Johor - Buletin Utama TV3

(Video) - Sentuhan Datuk Jack penyeri Istiadat Kemahkotaan Sultan Johor


BH Video - Sentuhan Datuk Jack penyeri Istiadat Kemahkotaan Sultan Johor

Surat Edaran Cuti Umum 23 Mac 2015


‘Coronation to revive traditions’

The Sultan of Johor, Sultan Ibrahim Sultan Iskandar, checking on preparations for his coronation ceremony at Istana Besar in Johor Baru. The ceremony will be held on March 23. Pix by KHAIRULL AZRY BIDIN.

KUALA LUMPUR: The upcoming coronation of Sultan of Johor Sultan Ibrahim Sultan Iskandar is expected to revive royal traditions, which will remind Malaysians of the sovereign rule of Malay rulers, said head of the Johor Council of the Royal Court Datuk Abdul Rahim Ramli.

“We’ve waited 55 years for this auspicious ceremony to take place.

Rabu, 11 Mac 2015

(Video) - Persiapan Pusat Media Istiadat Kemahkotaan Sultan Johor (RTM)


Nasional 5 RTM - 11 Mac 2013

PERSIAPAN PUSAT MEDIA ISTIADAT KEMAHKOTAAN SULTAN JOHOR [11 Mac 2015]

Persiapan Istiadat Kemahkotaan Sultan Johor 90 Peratus Siap

KERJA-KERJA membersih dan mengecat Gerbang Mahkota di laluan masuk utama ke Istana Bukit Serene sempena sambutan Istiadat Kemahkotaan Sultan Johor yang akan berlangsung pada 23 March ini. - Foto Hairul Anuar Abd Rahim

JOHOR BAHARU, 11 Mac (Bernama) -- Persiapan Istiadat Kemahkotaan Sultan Johor Sultan Ibrahim Almarhum Sultan Iskandar sudah melebihi tahap 90 peratus.

Pengerusi Jawatankuasa Publisiti Istiadat Kemahkotaan Md Jais Sarday berkata persiapan tersebut merangkumi urus setia, publisiti serta penyediaan pusat media kepada petugas tempatan dan antarabangsa.

"Hanya berbaki 12 hari lagi untuk rakyat Johor menyaksikan Istiadat Kemahkotaan itu dan kami (jawatankuasa) sudah membuat pelbagai persiapan.

"Pusat media yang disediakan di Dewan Jubli Intan, di sini, mampu memuatkan 100 petugas membabitkan 20 media cetak tempatan, tujuh media elektronik dan 10 media asing termasuk National Geographic," katanya kepada pemberita selepas melawat pusat media berkenaan, di sini, hari ini.

Md Jais yang juga Pengerusi Jawatankuasa Pendidikan, Penerangan, Pembangunan Usahawan Dan Koperasi Johor berkata pusat media itu dikendalikan Jabatan Penerangan Johor dan beberapa agensi berkaitan mulai 16 Mac ini.

Menurut Md Jais, terdapat sekurang-kurangnya sembilan istiadat akan diadakan untuk kemahkotaan itu bermula 16 Mac iaitu Istiadat Meletak Kerja, Tahlil dan Doa Kesyukuran, Majlis Siram Tabal serta disusuli Istiadat Kemahkotaan di Istana Besar, di sini, pada 23 Mac.

Beliau berkata selesai Istiadat Kemahkotaan di Istana Besar itu, Sultan Johor dijangka berkenan menyertai perarakan kenderaan dari Istana Besar ke Istana Bukit Serene sejauh 8.5 kilometer.

"Dijangkakan 40,000 rakyat Johor daripada pelbagai kaum akan menyaksikan perarakan tersebut yang konsepnya menyerupai perarakan kenderaan semasa Kemahkotaan Almarhum Sultan Ismail pada 1960," katanya.

Md Jais berkata pelbagai acara lain turut diadakan antaranya pameran yang dikendalikan Arkib Negara Cawangan Johor di Pusat Konvensyen Persada, di sini, dan daerah-daerah lain yang memberi peluang kepada rakyat mengenali lebih dekat Kesultananan Johor.

"Pada 23 hingga 28 Mac turut diadakan persembahan kebudayaan di Dataran Majlis Bandaraya Johor Baharu mulai 8 malam. Sultan Johor dijangka berkenan menyaksikan acara kemuncak persembahan kebudayaan yang bertemakan 'Payung Mahkota, Raja dan Rakyat Berpisah Tiada' pada 28 Mac," katanya.

-- BERNAMA, 11 Mac 2015

(Video) - Selamat Pagi Malaysia (RTM) - Kemahkotaan DYMM Sultan Johor


Temubual Yang DiPertua Jumaah Majlis Diraja Johor, Dato' Abdul Rahim Ramli dalam Selamat Pagi Malaysia di TV1 terbitan Radio Televisyen Malaysia (RTM) pada 9 Mac 2015 tentang Kemahkotaan DYMM Sultan Johor

Selasa, 10 Mac 2015

Tulisan Jawi, Lampu LED Hiasi Persiapan Sambutan Istiadat Kemahkotaan Sultan Johor

 Penggunaan tulisan jawi dalam gegantung dan papan iklan di bandar raya ini bersempena dengan Istiadat Kemahkotaan Sultan Johor, Sultan Ibrahim Sultan Iskandar merupakan antara elemen tradisional yang mahu diangkat semula pada acara Kemahkotaan Sultan Johor dalam tinjauan fotoBernama di jalan utama di sini hari ini.  --fotoBERNAMA (2015) HAKCIPTA TERPELIHARA



JOHOR BAHARU, 9 Mac (Bernama) -- Penggunaan tulisan jawi dalam gegantung dan papan iklan di bandar raya ini bersempena dengan Istiadat Kemahkotaan Sultan Johor, Sultan Ibrahim Sultan Iskandar merupakan antara elemen tradisional yang mahu diangkat semula pada acara ini.

Tinjauan Bernama baru-baru ini turut mendapati penggunaan lampu diod pemancar cahaya (LED) menjadi elemen menarik yang digunakan dalam hiasan sempena istiadat yang akan berlangsung dua minggu lagi.

Pihak berkuasa tempatan (PBT) kini giat melakukan persiapan bagi memastikan istiadat kemahkotaan Sultan Johor kelima dalam sejarah Johor Moden berlangsung dengan meriah dan lancar.

Majlis Bandaraya Johor Baharu (MBJB) contohnya, memberi fokus kepada aspek kebersihan dan pencahayaan di sekitar bandar raya ini.

Datuk Bandar Johor Baharu Datuk Abdul Rahman Mohamed Dewam berkata aspek kebersihan akan diberikan penekanan terutamanya di kawasan pusat bandar raya, laluan perarakan dan lokasi berlangsungnya istiadat.

"Pada masa yang sama, aspek pencahayaan turut diberikan perhatian apabila kebanyakan kawasan dalam bandar raya ini sudah dipasang dengan lampu hiasan LED bagi memeriahkan sambutan majlis ini," kata beliau

"Selain itu, skrin gergasi angkasa yang dipasang di hadapan pejabat MBJB akan menayangkan mesej dan grafik berkaitan istiadat ini," katanya kepada Bernama ketika dihubungi di sini.

Sementara itu, pihak Majlis Perbandaran Johor Baharu Tengah (MPJBT) pula berkata fokus utama akan diberikan dalam memastikan jalan utama yang terbabit dalam perarakan berkeadaan baik.

Ketua Unit Korporat dan Perhubungan Awam MPJBT Salwa Abdul Rashid berkata lampu hiasan pada bangunan MPJBT dan jejantas di sekitar bangunan itu turut diberi perhatian selain penaiktarafan landskap.

"Pihak MPJBT akan memastikan jalan raya yang akan terbabit dengan acara perarakan iaitu di sekitar Gelang Patah berada dalam keadaan baik.

"Selain itu, orang ramai juga dapat melihat bangunan MPJBT dan jejantas di hadapannya sudah dihias dengan lampu LED sebagai persediaan untuk menyambut istiadat ini," katanya lagi.

Tinjauan di pusat bandar raya mendapati suasana sambutan menjelang istiadat tersebut sudah mula dirasai di sekitar bandar raya ini terutama di pusat bandar raya.

Jalan raya utama di bandar raya ini sudah mula dihiasai dengan gegantung dan papan iklan yang memaklumkan tarikh berlangsungnya acara berkenaan dan kebanyakannya memaparkan mesej "Daulat Tuanku".

Turut kelihatan ialah bendera negeri Johor yang banyak dipasang di pembahagi jalan di jalan raya utama di pusat bandar raya.

Selain itu, kebanyakan jejantas juga sudah turut dihiasi dengan papan iklan yang memaklumkan maklumat acara kemahkotaan serta ada antaranya dihias dengan lampu LED.


- Sumber BERNAMA, 09 Mac 2015

Khamis, 5 Mac 2015

Konsert, Teater Warnai Sambutan Istiadat Kemahkotaan Sultan Johor

JOHOR BAHARU, 5 Mac (Bernama) -- Konsert pelbagai genre dan beberapa teater muzikal bakal mewarnai kemeriahan sempena sambutan Istiadat Kemahkotaan Sultan Johor Sultan Ibrahim Almarhum Sultan Iskandar.

Pengarah Yayasan Warisan Johor (YWJ) Mohamad Radif Kosnin berkata pihaknya mengatur pelbagai acara di bandar raya ini, yang bermula dengan persembahan kebudayaan pada 23 Mac mulai 8.30 malam hingga 10.30 malam di Dataran Majlis Bandaraya Majlis Bandaraya Johor Baharu (MBJB).

"Persembahan kebudayaan terbabit menumpukan kesenian pelbagai kaum di negeri ini oleh artis YWJ, Persatuan Soka Gakkai Malaysia, Temple Of Fine Arts dan artis-artis anak Johor," katanya kepada Bernama di sini.

Mohamad Radif berkata persembahan muzik pop dan jazz pula akan diadakan pada 24 Mac dan disusuli 'Malam Irama 60-an' pada 25 Mac dengan kedua-dua acara itu diadakan pada waktu yang sama.

Pada 27 Mac pula, beliau berkata sebuah persembahan muzikal yang memaparkan kesenian Islam iaitu 'Cahaya Jauhar' diadakan pada sebelah malam di Dataran Bandaraya MBJB yang dijayakan artis tempatan dan anak kelahiran Johor.

Menurut Mohamad Radif, pada keesokan harinya, Konsert Kemahkotaan yang bertema 'Raja dan Rakyat Berpisah Tiada' turut diadakan pada sebelah malam di dataran sama.

"Sultan Ibrahim dan kerabat diraja Johor dijangka berkenan menyaksikan konsert itu yang antara pengisiannya termasuk persembahan kebudayaan dan kesenian," katanya dengan menambah acara kemuncak tersebut akan dijayakan beberapa artis tanah air dan anak kelahiran Johor.

Sehubungan itu orang ramai dijemput hadir untuk memeriahkan acara itu.

Mohamad Radif juga berkata persembahan teater muzikal 'Wira Samudera' akan dipertontonkan kepada orang ramai di Stadium Tertutup Majlis Perbandaran Pasir Gudang (MPPG), Pasir Gudang, mulai 18 April sehingga 20 April depan.

Katanya teater berkenaan yang menyasarkan 9,000 penonton sepanjang tiga hari pementasan berkisar mengenai pengaruh Bugis dalam pentadbiran Kesultanan Melayu Johor dan bakal dijayakan 20 pemuzik,kumpulan koir serta lebih 100 pelakon.

"Kita berharap masyarakat khususnya rakyat negeri ini datang beramai-ramai menyaksikan teater yang dipentaskan buat julung kalinya. Kita mahu rakyat menghayati nilai-nilai yang terkandung dalam teater itu sekali gus mempelajari sejarah Johor menerusinya," katanya.

-- sumber BERNAMA, 05 Mac 2015

14 Jamadil Awal 1313 Hijrah - Hari Kemahkotaan DYMM Sultan Ibrahim & Tunku Ampuan Maimunah

Pada hari Sabtu, 14 Jamadil Awal 1313 Hijrah bersamaan 2 November 1895, kira-kira 120 tahun yang lalu, Istiadat Kemahkotaan  Ke bawah Duli Yang Maha Mulia Sultan Ibrahim dan Tunku Ampuan Maimunah telah diadakan di Istana Besar, Johor Bahru.

Istiadat tersebut diadakan selepas kira-kira 10 Jumaat selepas dimasyhurkan sebagai Sultan Johor pada 7 September 1895 atau kira-kira 6 bulan selepas kemangkatan Almarhum ayahanda baginda, Sultan Abu Bakar.

Istiadat Bersiram Tabal

Istiadat tersebut bermula dengan Istiadat Bersiram Tabal yang diadakan diatas sebuah Panca Persada yang dibina di kawasan lapang di antara bangunan Dewan dengan Istana Besar yang dikenali sebagai Bukit Bintang.

Bermula pada jam 3.30 petang, penjawat-penjawat perempuan memakai kain dedukung dan kain tetampan kuning duduk di sebelah tingkat sekeliling Panca Persada. Pada setiap penjuru Panca persada dikawal oleh hulubalang lelaki lengkap dengan tombak manakala kawasan sekeliling dikawal oleh askar dan polis.

Sultan Ibrahim dan Tunku Ampuan Maimunah berangkat turun dari Istana Besar dengan diringi pengiring perempuan dari kerabat. Kemudian Baginda berdua berangkat dengan kereta kuda yang ditarik dua ekor kuda sebandung.

Sebaik sahaja tiba, maka berbunyilah nobat dan bedil selamat 21 das ditembak dari Bukit Kubu (Bukit Timbalan) dan baginda berdua bersemayam di atas peterana yang disediakan.

Istiadat dimulakan dengan menepung tawar. Setelah selesai, maka nobat dibunyikan beserta lagu persiraman. Pada masa yang sama, air pancuran dari mulut naga dan lain-lain saluran dari penjuru persada memancut keluar.

Setelah selesai Istiadat Bersiram Tabal, baginda berdua turun dari Panca Persada dan berangkat naik ke Istana Besar dan tembakan meriam 21 das menandakan Istiadat Bersiram Tabal tamat.

Istiadat Kemahkotaan

Istiadat Kemahkotaan dimulakan kira-kira jam 4.30 petang dengan kehadiran kerabat, pegawai kerajaan, Gabenor, wakil Kerajaan Eropah dan dif jemputan khas di Bilik Singgahsana.

Kemudian pasukan Penjawat istana membawa masuk peralatan istiadat. Apabila sampai masa yang ditentukan, maka berserulah Bentara Kanan iaitu keberangkatan masuk Baginda berdua ke Istiadat Kemahkotaan. Lagu Bangsa Johor dimainkan sebelum baginda berdua bersemayam di atas takhta kerajaan.

Sultan Ibrahim memakai uniform hitam bertekat benang emas dengan pedang kerajaan dan bersarung tangan putih dan bersongkok baldu yang bertaja intan hadapannya serta memakai darjah dan kalung dan berhiasan pingat-pingat. Jubah kebesaran atau Kain Pelayang yang panjang daripada satin putih luarnya dan biru dalamnya dan di hujung jubah yang panjang meleret di belakang dijinjit oleh dua orang anak raja yang kecil comel memakai satin putih bagi seluar dan bajunya dan bersongkok hitam bertaburan emas.

Manakala bagi Tunku Ampuan Maimunah pula memakai baju kurung bertekup dada daripada baldu hitam dan kain benang emas bersongket dan bagi perhiasan ulunya bertudung kepala melam pai ke belakang kerana terpasang sebuah mutiara intan di atasnya bersambut cekap musang dan kalung intan serta bergelang intan  dengan cincin-cincin intan yang bersinaran gilang gemilang cahayanya. Kain Pelayang atau jubah kebesaran pula daripada satin putih sebelah luar dan biru sebelah dalam dan di hujung jubah kebesaran oleh dua anak raja perempuan yang comel dan lagi keadaan berkain baju satin putih serta bertudung kepala panjang ke belakang dan berhiasan dengan karangan emas intan.

Istiadat dimulakan dengan Yang Amat Mulia Ungku Muhammad Khalid, diikuti oleh Yang Mulia Ungku Muhammad, Ungku Sulaiman dan Ungku Usman berdatang sembah mohon kebenaran hendak memahkotakan baginda berdua.

Kemudian Yang Berhormat Dato’ Bentara Dalam ditimbal oleh Dato’ Penggawa Timur,Dato’ Penggawa Barat dan Dato’Yahya bin Awaluddin menyerahkan Mahkota Kerajaan kepada Imam Besar. Imam Besar, Tuan Haji Othman bin Hj Abdullah memakaikan Mahkota Kerajaan  kepada Kebawah Duli Yang Maha Mulia Sultan dengan dimulakan dengan selawat Nabi dan lafaz Bismillah.

Duli Yang Maha Mulia Almarhum Sultan Ibrahim
 
Kemudian Yang Berhormat Dato’ Bentara Luar ditimbal oleh Dato’ Seri Setia Raja, Dato’ Seri Amar Diraja dan Dato’Yahya bin Sha’ban membawa Mahkota Permaisuri kepada Imam Besar. Imam Besar memakaikan Mahkota Permaisuri kepada Kebawah Duli Yang Maha Mulia Tunku Ampuan Maimunah.


Duli Yang Maha Mulia Almarhumah Tunku Ampuan Maimunah

Dato' Menteri Besar mengadap dan menyeru Daulat Tuanku sebanyak 3 kali dan diikuti sekalian yang hadir. Serentak itu juga, nobat dibunyikan dan meriam sebanyak 21 das dilepaskan. Baginda mengucap syukur ke hadrat Allah dan kemudian Timbalan Imam Besar pula berselawat sebanyak 3 kali dan diikuti oleh hadirin.

Kemudian Dato Mufti, Dato' Syed Salim Al-Attas membaca doa selamat. Selepas itu, Baginda berdua menerima ucap selamat dari dif Kerajaan Eropah dan kemudian majlis mengadap ta'zim oleh kerabat dan rakyat oleh Dato Menteri Besar.

Istiadat Kemahkotaan tamat dengan baginda berdua berangkat meninggalkan Bilik Singgahsana Istana Besar.

Pada sebelah malamnya diadakan Majlis Santapan di Dewan Santapan Istana Besar yang dihadiri oleh dif jemputan yang tertentu.

Selepas itu tiada sambutan yang meriah diadakan kerana masih lagi dalam tempoh perkabungan.

Demikianlah serba sedikit  tentang Istiadat Kemahkotaan yang telah menjadi adat istiadat tradisi diraja Johor.

Sesungguhnya negeri Johor semamangnya kaya dengan adat istiadat diraja yang dihidupkan kembali oleh DYMM Sultan Ibrahim Almarhum Sultan Iskandar.

Rabu, 4 Mac 2015

Acara Istiadat Kemahkotaan Sultan Johor disusun

JOHOR BAHRU - Jabatan Pelancongan Negeri Johor menyusun pelbagai acara untuk orang ramai mulai 23 Mac hingga 30 Mac ini bersempena Istiadat Kemahkotaan Sultan Johor Sultan Ibrahim Almarhum Sultan Iskandar.
 
Pengerusi Jawatankuasa Pelancongan, Perdagangan dan Kepenggunaan Johor Datuk Tee Siew Kiong berkata acara berkenaan yang sekali gus menarik kehadiran pelancong ke negeri ini merangkumi perarakan bot berhias, pertunjukan bunga api, karnival sukan dan jamuan teh di bandar raya ini serta beberapa daerah lain.

Selasa, 3 Mac 2015

Istiadat Kemahkotaan Sultan Johor Tampilkan Tiga Elemen Budaya

JOHOR BAHARU (Bernama) -- Eksklusif, penuh budaya dan gilang gemilang adalah antara elemen istiadat kemahkotaan Sultan Johor, Sultan Ibrahim Almarhum Sultan Iskandar yang bakal diadakan pada 23 Mac ini.

Bakal menampilkan tiga jenis kebudayaan iaitu budaya Melayu, Barat dan Islam, acara itu amat dinantikan segenap lapisan rakyat Johor yang mahu melihat tradisi itu, yang sejak kali terakhir dipersembahkan 55 tahun lepas.


Yang Dipertua Jumaah Majlis Diraja Johor Datuk Abdul Rahim Ramli berkata istiadat kemahkotaan kali ini bertempat di Bilik Singgahsana, Istana Besar, yang bakal dipertontonkan secara langsung kepada rakyat melalui RTM.